Fatima Ezzahra El Mansouri cipta sejarah, wanita pertama dilantik PM Maghribi
RABAT – Fatima Ezzahra El Mansouri mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Perdana Menteri wanita pertama Maghribi oleh Raja Mohammed VI selepas parti pimpinannya memenangi pilihan raya Parlimen negara itu minggu lalu.
Pelantikan El Mansouri, 50, diumumkan menerusi kenyataan Kementerian Hal Ehwal Istana Diraja, Protokol dan Canselori semalam, selepas beliau menghadap Raja Mohammed VI di Istana Diraja di Rabat, menurut laporan agensi berita Anadolu.
Raja Mohammed VI turut memberi mandat kepadanya untuk membentuk kerajaan baharu.
Parti Authenticity and Modernity (PAM) pimpinan El Mansouri memenangi pilihan raya pada 23 September lalu dengan memperoleh 97 daripada 395 kerusi Dewan Perwakilan iaitu jumlah tertinggi antara semua parti.
Mengikut peruntukan perlembagaan Maghribi, Raja melantik ketua kerajaan daripada parti yang memperoleh kerusi terbanyak dalam Dewan Perwakilan, manakala anggota Kabinet dilantik atas cadangan Perdana Menteri.
Selepas pertemuan dengan Raja Mohammed VI, El Mansouri menyifatkan pelantikannya sebagai detik bersejarah bagi negara berkenaan.
“Ini adalah kali pertama seorang wanita dilantik mengetuai kerajaan, dan ia menjadi kebanggaan bagi saya serta semua wanita di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, rundingan akan dimulakan segera dalam parti serta dengan parti politik lain bagi membentuk kerajaan baharu.
“Kami sedar sepenuhnya mengenai pentingnya fasa ini serta harapan tinggi rakyat, terutama golongan muda,” katanya sambil menegaskan kerajaan akan merangka program yang menawarkan penyelesaian realistik dan konkrit.
Bagaimanapun, PAM tidak mempunyai majoriti mudah dalam Dewan Perwakilan yang memerlukan sekurang-kurangnya 198 kerusi, menyebabkan El Mansouri perlu mendapatkan sokongan parti lain untuk membentuk kerajaan.
National Rally of Independents (RNI) memperoleh 66 kerusi, diikuti Parti Istiqlal dengan 65 kerusi dan Parti Justice and Development (PJD) dengan 54 kerusi.
Sementara itu agensi berita antarabangsa Reuters melaporkan, El Mansouri kini berdepan tugas membentuk kerajaan gabungan, selain menguruskan agenda ekonomi dan persiapan besar Maghribi menjelang Piala Dunia FIFA 2030 yang bakal dianjurkan bersama Sepanyol dan Portugal.
El Mansouri merupakan seorang peguam dan sebelum ini memegang jawatan Menteri Perancangan Negara, Perancangan Bandar, Perumahan dan Dasar Bandar.
Beliau mencipta sejarah pada 2009 apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Datuk Bandar Marrakech, manakala penglibatannya dalam politik semakin menyerlah selepas penubuhan PAM pada 2008.
Pelantikan itu turut menjadikan El Mansouri antara hanya segelintir wanita di dunia Arab yang pernah mengetuai kerajaan. Sebelum ini, Tunisia melantik Najla Bouden sebagai wanita pertama mengetuai kerajaan negara Arab pada 2021.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








