BERITA SEMASA

Rakyat Malaysia berdukacita pemergian Tun Dr Siti Hasmah

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia meluahkan kesedihan dan merakamkan penghormatan atas pemergian negarawan, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.20 pagi tadi.

Pengumuman mengenai pemergian Allahyarhamah yang dimuat naik di laman Facebook Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat perhatian meluas apabila meraih lebih 98,000 reaksi, 25,200 komen dan lebih 11,000 perkongsian semula.

Rata-rata pengguna media sosial menzahirkan ucapan takziah selain mengenang Allahyarhamah sebagai seorang wanita yang penuh keibuan, sederhana dan berwibawa serta setia mendampingi Tun Mahathir sepanjang perjalanan hidup mereka selama 70 tahun.

siti hasmah
Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara, pagi ini.

Norilyani Raz menerusi perkongsiannya menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai kehilangan besar buat negara.

“100 tahun hidup yang penuh bakti. Daripada seorang doktor wanita pertama Melayu, hingga menjadi Ibu Negara yang sentiasa di sisi rakyat dengan senyuman. Malaysia kehilangan satu permata yang tiada ganti. Al-Fatihah,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Hanif Zakaria berkata, Allahyarhamah akan terus dikenang bukan sekadar sebagai isteri kepada seorang Perdana Menteri, tetapi juga sebagai doktor, ibu dan wanita yang banyak menabur bakti kepada negara.

“Tun Dr Siti Hasmah akan sentiasa dikenang sebagai lambang kelembutan, ketabahan, kesederhanaan dan kewibawaan.

“Di sebalik sosoknya yang tenang, tersimpan begitu banyak kekuatan dan pengorbanan yang menjadi teladan kepada generasi rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Titi Asmirah menyifatkan Allahyarhamah sebagai wanita yang sentiasa menjadi inspirasi, selain mengagumi penampilannya yang sederhana tetapi anggun serta tutur katanya yang lemah lembut dan tenang.

“Semoga Allahyarhamah ditempatkan bersama golongan orang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Pemergian Allahyarhamah pada usia 100 tahun turut mengundang pelbagai kenangan dalam kalangan rakyat yang mengenali sumbangan dan ketokohan beliau sepanjang hayat.

Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor, Allahyarhamah merupakan antara wanita Melayu terawal yang menceburi bidang perubatan.

Beliau kemudian berkahwin dengan Tun Mahathir pada 4 Ogos 1956 dan mempunyai tujuh orang anak iaitu tiga perempuan dan empat lelaki.

Allahyarhamah dikenali atas usaha menangani penyalahgunaan dadah, meningkatkan literasi dan memperkasakan wanita, termasuk di peringkat antarabangsa.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, jenazah Tun Hasmah akan menjalani Istiadat Pengebumian Negara.

Pengurusan jenazah dan penghormatan terakhir akan dilaksanakan di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya selepas solat Asar, hari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button