BERITA SEMASA

IPU Serian cecah 477, berada pada tahap berbahaya

PUTRAJAYA – Jabatan Alam Sekitar (JAS) memperkukuh pemantauan dan tindakan penguatkuasaan susulan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan, termasuk bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 477 di Serian, Sarawak, pada jam 10 malam ini.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS, Azuri Azizah Saedon, bacaan berkenaan berada pada tahap berbahaya, susulan pengisytiharan darurat di seluruh Bahagian Serian, Sarawak berikutan pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.

Pada masa sama katanya, tiga kawasan di Sarawak merekodkan bacaan sangat tidak sihat, iaitu Kuching (299), Samarahan (286) dan Sri Aman (247).

“Sebanyak 18 kawasan pula mencatatkan bacaan pada tahap tidak sihat, antaranya Sibu (182), Sarikei (182), Mukah (180), Bintulu (171), Samalaju (168), ILP Miri (164), Pasir Gudang (156), Miri (159), Larkin (155), Kota Tinggi (154), Tawau (153), Politeknik Kota Kinabalu (152), Pengerang (147), Labuan (129), Segamat (112), Kluang (108), Sandakan (108) dan Limbang (106),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku dalam persekitaran cuaca kering yang berterusan di sebahagian rantau Selatan ASEAN.

“Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 4 September, sebanyak 139 titik panas dikesan di Kalimantan, 138 di Sumatera dan 16 di Malaysia, membabitkan lima di Sabah, sembilan di Sarawak dan dua di Terengganu.

“ASMC turut melaporkan jerebu sederhana hingga tebal bergerak ke arah timur laut dari Kalimantan ke beberapa kawasan di Sarawak, Sabah dan Brunei,” katanya.

Sehubungan itu katanya, JAS Sarawak kini meneruskan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT), rondaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan, terutama di kawasan berisiko seperti hutan, tanah gambut, tapak pelupusan sampah, kawasan pertanian dan perladangan serta kawasan industri.

Katanya, JAS juga memberi perhatian terhadap kebakaran di kawasan belukar tanah gambut berhampiran Jalan Sibujaya Barat, Mukah, yang melibatkan kira-kira 10 hektar, serta kebakaran di Sungai Nai, Daro, Mukah, membabitkan kira-kira tiga hektar.

“Penerbangan dron akan dilaksanakan bagi mendapatkan gambaran terkini mengenai status kebakaran dan kawasan yang terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pihak industri supaya mengurangkan pelepasan udara daripada punca utama di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 300 bagi membantu mengurangkan tekanan terhadap kualiti udara.

Beliau berkata, tindakan pengurusan jerebu dilaksanakan secara bersepadu selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK), termasuk pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana oleh NADMA apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.

“Antara tindakan yang digariskan ialah penghentian aktiviti luar bilik darjah apabila IPU melebihi 100, penutupan sekolah, tadika dan taska apabila IPU melebihi 200 serta pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan, tertakluk kepada keadaan cuaca dan kehadiran awan yang sesuai, apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam,” katanya .

Sementara itu beliau menegaskan, JAS tidak akan berkompromi terhadap pembakaran terbuka yang berpunca daripada aktiviti manusia, khususnya jika menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.

Menurut beliau, orang ramai turut diminta tidak melakukan pembakaran terbuka dan segera melaporkan kejadian kebakaran atau pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melalui talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.

Katanya, ia selaras dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga RM1 juta, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button