Cadangan Hospital MARA diteruskan, pasukan khas dibentuk – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – Cadangan penubuhan Hospital MARA akan diteruskan dengan penubuhan pasukan khas bagi meneliti semua aspek berkaitan hospital berkenaan, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Asyraf Wajdi berkata, pasukan khas itu diamanahkan kepada Timbalan Ketua Pengarah MARA, Dr Mahzan untuk mengepalainya, selain menggembleng pandangan pakar dalam pelbagai bidang berkaitan.
“Ya, saya tidak pernah akan menoleh ke belakang lagi. Pasukan khas telah dibentuk dan saya amanahkan kepada Timbalan Ketua Pengarah MARA Dr Mahzan untuk mengepalainya.
“InsyaAllah semua aspek akan diteliti dan pandangan pakar-pakar akan digemblingkan termasuk Doktor-Doktor Pakar daripada pelbagai hospital awam dan swasta yang menyatakan kesediaan untuk membantu memandangkan mereka semua bekas anak tajaan MARA. Ini masanya untuk membalas jasa MARA,” katanya dalam kenyataan di media sosial miliknya hari ini.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi mempertahankan cadangan penubuhan Hospital MARA sambil menegaskan idea berkenaan bukan berasaskan faktor perkauman.
“Saya tak faham kenapa cadangan mewujudkan Hospital MARA dikaitkan dengan perkauman. Selepas 60 tahun, dengan beribu doktor dilahirkan, ekosistem pendidikan kesihatan lengkap, idea ini dikembangkan untuk manfaat semua,” katanya.
Beliau berkata, ekosistem pendidikan MARA berkaitan kesihatan merangkumi pelbagai institusi yang menawarkan kursus dalam bidang perubatan, kejururawatan, farmasi, fisioterapi, pengimejan perubatan, psikologi serta bidang berkaitan sains dan kejuruteraan kesihatan.
Katanya, UniKL Royal College of Medical Perak menawarkan kursus kedoktoran, kejururawatan, farmasi, fisioterapi, Medical Imaging dan psikologi serta memerlukan sebuah hospital pelatih.
“UniKL MESTECH di Bangi pula menawarkan bidang berkaitan Sains Kesihatan, Makmal, Environmental Health dan Occupational Safety and Health.
“UniKL BMI di Gombak menawarkan program kejuruteraan berkaitan kesihatan seperti Biomedical Engineering Maintenance, manakala UniKL MITEC menawarkan kursus penyelenggaraan peralatan perubatan dan kesihatan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, UniKL MFI menawarkan kursus teknologi kejuruteraan berkaitan sistem penyaman udara yang banyak diperlukan dalam sektor kesihatan.
Asyraf Wajdi berkata, KPTM Kota Bharu turut menawarkan program diploma kejururawatan, manakala KKTM (kini TVETMARA) Ledang menawarkan program kejuruteraan Elektronik Bio-Perubatan meliputi Diagnostic, Therapeutic, Radiology & Imaging serta Laboratory & ICT.
Program itu katanya, melahirkan tenaga terlatih dalam menyelenggarakan mesin dan peralatan perubatan seperti mesin X-Tray, mesin dialisis dan lain-lain.
KKTM Sri Gading pula menawarkan program penyelenggaraan bangunan termasuk teknologi bangunan untuk hospital, manakala KKTM Lenggong menawarkan program latihan dalam bidang ubat-ubatan herba dan perubatan alternatif.
Selain ekosistem pendidikan MARA yang lengkap, beliau berkata, bahagian penajaan MARA terus menawarkan pembiayaan pelajaran bukan sahaja untuk pelajar di peringkat ijazah sarjana muda perubatan dan bidang lain yang berkaitan dengan kesihatan, malah di peringkat sarjana, PhD dan doktor-doktor pakar.
“Sehingga kini tidak kurang daripada 45,000 yang telah dilahirkan oleh MARA,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








