BERITA SEMASA

MARA perkukuh jaringan global, perluas laluan antarabangsa TVET dan pendidikan tinggi

KUALA LUMPUR – Usaha memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus diperkukuh apabila Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengorak langkah memperluas jaringan kerjasama strategik di peringkat global.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun MARA kini memiliki 345 institusi pendidikan dalam negara, pendedahan antarabangsa tetap menjadi agenda utama dalam melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global.

“Setiap tahun ribuan pelajar MARA dihantar ke luar negara bagi menimba pengalaman, idea baharu serta perspektif antarabangsa supaya mereka kembali sebagai modal insan yang lebih proaktif dan kompetitif,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau yang kini mengetuai delegasi MARA dalam lawatan rasmi ke Sydney, Australia, turut mengadakan pertemuan bersama Menteri Pendidikan Australia, Jason Clare bagi meneroka potensi kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi dan TVET antara MARA dan institusi pendidikan di negara itu.

Menurutnya, dalam perbincangan tersebut, beliau mencadangkan agar universiti di Australia mempertimbangkan kadar yuran yang lebih kompetitif khusus untuk pelajar MARA, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak Malaysia melanjutkan pengajian di sana.

Asyraf Wajdi
Delegasi MARA dalam lawatan rasmi ke Sydney, Australia bagi meneroka potensi kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi dan TVET antara MARA dan institusi pendidikan di negara itu.

Selain itu, beliau turut mengusulkan peluasan model ‘Twinning Programme’ yang membolehkan sebahagian tempoh pengajian dilaksanakan di institusi MARA dalam negara seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), sebelum menyambung baki pengajian di Australia.

Model itu jelasnya, bukan sahaja memberi fleksibiliti kepada pelajar, malah berpotensi mengurangkan kos keseluruhan pengajian tanpa menjejaskan kualiti akademik.

Fokus kerjasama turut merangkumi agenda TVET termasuk pertukaran kepakaran tenaga pengajar, pemindahan teknologi serta kolaborasi latihan industri selari dengan usaha kerajaan memperkasa TVET sebagai laluan kerjaya masa depan.

Sepanjang lawatan tersebut, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan kepimpinan beberapa universiti terkemuka Australia termasuk Monash University, RMIT University, University of Melbourne, University of Sydney dan UNSW Sydney.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button