Pengiktirafan MICPA perkukuh nilai graduan Diploma Perakaunan KPTM
BANGI – Pengiktirafan Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) terhadap Program Diploma in Accounting (AA101) Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) memberi nilai tambah kepada pelajar dalam membina laluan kerjaya serta melanjutkan pengajian ke peringkat profesional dalam bidang perakaunan.
Ketua Pegawai Eksekutif KPTMSB, Radzuan Razali berkata, hubungan rapat dengan badan profesional dan pihak industri merupakan antara elemen penting bagi memastikan pendidikan yang ditawarkan bukan sahaja memenuhi keperluan akademik, malah mempunyai nilai tambah yang relevan dengan dunia pekerjaan.
“Bagi KPTMSB, pendidikan bukan sekadar menyediakan kelayakan akademik, tetapi memastikan pelajar memperoleh pengetahuan, kemahiran dan pendedahan yang relevan untuk menghadapi dunia pekerjaan sebenar.
“Kerjasama dengan MICPA ini memperkukuh usaha tersebut dengan memberikan nilai tambah kepada program serta laluan yang lebih jelas kepada pelajar untuk membina kerjaya dalam bidang perakaunan.
“Kita mahu graduan KPTM bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi turut mempunyai keyakinan untuk melangkah ke peringkat profesional dan bersedia memenuhi tuntutan industri yang sentiasa berubah. Kerjasama seperti ini menjadi sebahagian daripada ekosistem yang kita bina untuk mencapai aspirasi tersebut,” katanya.
Baca juga : KPTM 23 tahun: Daripada institusi pendidikan kepada ekosistem pendidikan lebih berdaya saing
Pengiktirafan itu diraikan menerusi Majlis Kerjasama Strategik dan Pengiktirafan MICPA bagi Program Diploma in Accounting (AA101) Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB) yang berlangsung di Dewan Besar, KPTM Bangi, di sini semalam.
Majlis turut menyaksikan pemeteraian kerjasama strategik antara KPTMSB dan MICPA, sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dengan badan profesional dalam bidang perakaunan.

Kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen KPTMSB dalam memastikan program akademik yang ditawarkan sentiasa relevan, dinamik dan selari dengan keperluan semasa industri.
Pengiktirafan MICPA turut memberikan nilai tambah kepada kelayakan pelajar Diploma in Accounting (AA101), khususnya dalam meningkatkan keyakinan mereka untuk melangkah ke alam pekerjaan serta meneruskan pengajian ke peringkat profesional selepas tamat diploma.
Selain manfaat kepada pelajar, kerjasama strategik itu turut membuka ruang kepada peluang kolaborasi lebih luas antara KPTMSB dan MICPA, termasuk dalam aspek pembangunan akademik, perkongsian kepakaran serta pengukuhan profesionalisme dalam bidang perakaunan.
Majlis yang dihadiri kira-kira 100 tetamu itu turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah KPTMSB dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corporation Sdn. Bhd., Yahaya Sani, Ketua Pegawai Eksekutif MICPA serta barisan pengurusan KPTMSB.
Pengiktirafan itu turut dilihat sebagai pencapaian penting dalam usaha KPTMSB memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan yang memberi penekanan kepada kualiti akademik, hubungan industri dan pembangunan profesional graduan.
Pada masa sama, pengiktirafan MICPA dijangka meningkatkan keyakinan pelajar dan ibu bapa terhadap Program Diploma in Accounting (AA101), selain menjadi nilai tambah dalam usaha menarik minat lepasan sekolah untuk memilih bidang perakaunan sebagai laluan pendidikan dan kerjaya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








