Saman kerajaan demi kebajikan rakyat Muar – Syed Saddiq
KUALA LUMPUR – Perbezaan pendirian politik tidak seharusnya menjadi alsan untuk menafikan hak dan kebajikan rakyat, tegas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Beliau berkata, tindakan menyaman kerajaan berhubung penarikan peruntukan Parlimen Muar pada 2023 bukan bertujuan mencetuskan pertelingkahan dengan mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan penduduk di kawasan itu terus mendapat manfaat daripada peruntukan yang diluluskan.
Menurutnya, perjuangan melalui saluran undang-undang itu akhirnya membuahkan hasil apabila kerajaan bersetuju memulangkan RM500,000 peruntukan kebajikan Muar, selain meneruskan projek baik pulih infrastruktur bernilai RM230,300.
“Alhamdulillah, RM500,000 wang kebajikan Muar akan dipulangkan. Projek baik pulih infrastruktur bernilai lebih RM200,000 juga akan diteruskan,” katanya menerusi hantaran video di media sosial semalm.
Mengimbas tindakan undang-undang yang dimulakan, beliau berkata, saman itu difailkan bersama empat pemimpin tempatan Muar selepas peruntukan yang telah diluluskan ditarik balik.
Katanya, dana berkenaan sepatutnya digunakan untuk membantu penduduk setempat serta membaiki kemudahan asas di sekolah dan surau, namun penarikannya berlaku selepas beliau tidak lagi sehaluan dengan kerajaan.
Syed Saddiq berkata, beliau memilih untuk mendapatkan keadilan melalui mahkamah kerana percaya institusi kehakiman berperanan sebagai benteng terakhir rakyat dalam mempertahankan hak mereka.
“Saya junjung institusi keadilan dan mahkamah negara. Selepas dua tahun berjuang di Mahkamah Persekutuan, dengan keputusan sebulat suara 3-0 yang membenarkan saman sivil kami untuk diteruskan,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan itu membuka ruang kepada penyelesaian apabila kerajaan dan Pejabat Peguam Negara bersetuju menyelesaikan kes berkenaan di hadapan tiga hakim Mahkamah Persekutuan.
Menerusi persetujuan itu, kerajaan akan memulangkan peruntukan kebajikan berjumlah RM500,000 dan meneruskan projek baik pulih infrastruktur yang tertangguh.
“Alhamdulillah, semuanya untuk manfaat rakyat Muar. Dari awal saya tak berniat nak bergaduh dengan sesiapa. Saya hanya mahu memperjuangkan kebajikan penduduk di kawasan yang saya wakili,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














