LUAR NEGARA

Hampir 30 penerbangan Eropah diancam bom, jet pejuang dikerah

LONDON – Hampir 30 penerbangan penumpang di seluruh Eropah berdepan ancaman bom palsu pada Khamis, memaksa beberapa pesawat melakukan pendaratan kecemasan termasuk diiringi jet pejuang dalam insiden keselamatan udara yang semakin serius.

Gelombang ancaman itu mencetuskan gangguan besar terhadap operasi penerbangan, selepas sekurang-kurangnya tujuh pesawat dan sebuah kapal persiaran turut menerima ancaman serupa pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, setakat ini tiada kerajaan Eropah mengesahkan pihak yang bertanggungjawab, manakala tiada pihak tampil membuat pengakuan yang dapat disahkan berhubung siri ancaman berkenaan.

Pakar keselamatan penerbangan, Eric Schouten berkata, kejadian itu berkemungkinan dilakukan individu yang mempunyai kepentingan peribadi atau pihak yang meniru tindakan sama.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan insiden itu mempunyai ciri serangan hibrid yang dirancang secara lebih tersusun.

“Amat sukar untuk membuktikan sesebuah negara berada di sebalik kejadian seperti ini atau serangan sabotaj lain. Bagaimanapun, tindakan itu mempunyai persamaan dengan modus operandi serangan berkenaan,” katanya seperti dilaporkan berita antarabangsa.

Beberapa negara Eropah sebelum ini menuduh Rusia terbabit dalam kegiatan sabotaj dan serangan hibrid sejak pencerobohan Ukraine pada 2022.

Denmark, Poland dan Romania, yang turut terjejas dalam insiden terbaharu, pernah mengaitkan Moscow dengan serangan seumpama itu, manakala Jerman menuduh Rusia bertanggungjawab terhadap serangan di Lapangan Terbang Leipzig pada Ogos lalu.

Bagaimanapun, dakwaan berkenaan tidak membuktikan Rusia terbabit dalam ancaman bom terbaharu itu. Moscow dan Iran sebelum ini menafikan tuduhan sedemikian.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber lapangan terbang di Itali memaklumkan Reuters bahawa beberapa alamat e-mel milik syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang dan penyedia perkhidmatan menerima mesej bertajuk ‘Threat report’.

E-mel itu mendakwa bahan letupan diletakkan dalam pesawat yang tiba dari Helsinki dan Dublin, dengan ancaman ia akan meletup dalam tempoh 60 minit.

Mesej berkenaan menggunakan nama ‘pejuang Male State’ dan turut mengandungi amaran, “Hari ini langit kamu akan menjadi merah.”

Bagaimanapun, Reuters tidak dapat mengesahkan identiti pengirim e-mel itu atau kaitannya dengan ancaman lain di Eropah.

Pengasas gerakan anti-feminis Male State dari Rusia, Vladislav Pozdnyakov, menafikan kumpulan itu terbabit dan berkata gerakan berkenaan sudah tidak wujud.

Sementara itu, Perancis mengerahkan jet pejuang untuk memintas pesawat Aer Lingus dari Dublin ke Rome sebelum mengiringinya ke pangkalan tentera udara di Evreux.

Pejabat Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu, memaklumkan tindakan itu diambil selepas juruterbang pesawat berkenaan tidak memberikan kerjasama seperti yang dijangkakan kepada pihak berkuasa.

Di Bulgaria, jet pejuang negara itu mengiringi tiga pesawat penumpang sehingga mendarat, termasuk sebuah penerbangan Ryanair dari London ke Sofia yang dilencongkan ke Plovdiv.

Agensi perisikan Romania pula mengesahkan sebuah pesawat KLM menuju Tel Aviv yang singgah di Bucharest turut menerima ancaman bom.

Siri ancaman itu mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan penerbangan Eropah, namun setakat ini belum ada bukti yang mengesahkan dalang atau motif sebenar di sebalik kejadian berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button