Punca nahas helikopter Long Lellang masih disiasat, belum dimuktamadkan
KUALA LUMPUR – Punca nahas helikopter Bo-105 yang mengorbankan lima individu di Long Lellang, Sarawak, pada 8 September lalu masih belum dapat dipastikan, dengan siasatan keselamatan kini memberi tumpuan kepada sistem jana kuasa dan kemungkinan kebakaran ketika penerbangan.
Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) dalam laporan awal yang dikeluarkan hari ini memaklumkan siasatan masih berjalan, manakala fakta yang diperoleh setakat ini belum mencukupi untuk merumuskan punca kejadian.
“Usaha berterusan untuk mengumpul fakta berkaitan operasi penerbangan, amalan operasi standard dan sejarah penyelenggaraan helikopter akan menyediakan bukti yang diperlukan bagi mengesahkan keberkesanan langkah perlindungan sistem serta menilai sebarang keadaan tersembunyi yang berpotensi menyumbang kepada kemalangan,” menurut laporan itu.
Siasatan awal tidak menemukan sebarang kerosakan atau kecacatan pada struktur badan helikopter, penyelenggaraannya mahupun juruterbang.
Enjin helikopter berkenaan sudah dihantar ke kemudahan pengeluar untuk pemeriksaan lanjut, manakala siasatan terhadap sistem jana kuasa masih diteruskan.
Seorang jurutera daripada pengeluar enjin juga menyertai siasatan di lokasi nahas sebagai pakar teknikal yang mewakili pihak berkaitan reka bentuk dan pembuatan enjin berkenaan.
“Pemeriksaan terperinci terhadap baki serpihan helikopter dijalankan dengan perhatian khusus diberikan kepada sistem jana kuasa dan komponen berkaitannya.
“Komponen sistem jana kuasa yang berjaya ditemukan kemudian dibawa ke kemudahan pengeluar enjin untuk pemeriksaan dan analisis lanjut,” menurut laporan itu lagi.
AAIB turut memaklumkan rakaman video berdurasi 37 saat dari darat yang menunjukkan bahagian akhir penerbangan helikopter itu memperlihatkan kepulan asap jelas serta api di sekitar bahagian belakang kotak gear utama.
Walau bagaimanapun, punca, perkembangan dan urutan kejadian kebakaran berkenaan masih dalam siasatan.
Pemeriksaan awal di lokasi mendapati helikopter itu mengalami kerosakan besar akibat kebakaran dan hentaman dengan permukaan tanah.
Serpihan utama helikopter serta bahan berkaitan ditemukan berhampiran lokasi nahas, manakala komponen dan bahagian kecil yang tercabut turut dikumpulkan untuk pemeriksaan serta analisis lanjut.
Menurut laporan itu lagi, tahap kerosakan pada struktur badan helikopter, enjin, sistem transmisi, kawalan penerbangan dan komponen lain masih tertakluk kepada pemeriksaan terperinci.
Dalam kejadian pada 8 September lalu, helikopter Bo-105 yang menjalankan perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service) dan membawa lima individu terhempas berhampiran STOLport Long Lellang, Sarawak, mengorbankan semua yang berada di dalamnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








