PH kekal teguh dengan agenda perangi rasuah, salah guna kuasa
KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) memberi dokongan penuh terhadap usaha Kerajaan MADANI dalam memerangi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa.
Majlis Setiausaha PH dalam kenyataan berkata, gabungan itu turut menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini supaya setiap kes berkaitan disiasat secara menyeluruh tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
Menurut kenyataan itu, PH sebagai gabungan politik yang sejak awal membawa agenda reformasi institusi, tatakelola baik serta penolakan terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa berpendirian bahawa individu yang disabitkan kesalahan perlu menjalani sepenuhnya tempoh hukuman yang ditetapkan mahkamah.
“Prinsip kedaulatan undang-undang juga menuntut supaya proses kehakiman yang sedang berjalan diberikan ruang untuk diselesaikan secara teratur dan bebas tanpa menimbulkan sebarang persepsi bahawa proses tersebut telah didahului oleh pertimbangan lain,” menurut kenyataan itu.
PH berkata, perkara tersebut penting ketika Malaysia berada dalam fasa pemulihan bagi memperkukuh tatakelola dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
Katanya, sebarang keputusan membabitkan kes berprofil tinggi perlu mengambil kira keyakinan masyarakat terhadap kesungguhan negara dalam melaksanakan agenda berkenaan.
“Beberapa kes rasuah berprofil tinggi sebelum ini turut memberikan kesan yang besar terhadap nama dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara telah berusaha keras untuk membina semula keyakinan terhadap institusi, tatakelola serta keupayaan Malaysia menangani rasuah dan salah guna kuasa. Momentum pemulihan ini perlu terus dipelihara,” katanya.
Dalam pada itu, PH menegaskan gabungan tersebut dibina atas sokongan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang yang meletakkan harapan besar terhadap agenda Reformasi serta pembentukan sebuah negara yang bersih, berintegriti dan bertanggungjawab.
Menurutnya, amanah berkenaan menuntut PH untuk terus konsisten menyuarakan pendirian berdasarkan prinsip, termasuk ketika berdepan situasi mencabar dan tekanan daripada pelbagai sudut.
“Pakatan Harapan mengulangi pendirian untuk terus menjunjung Perlembagaan, menghormati institusi negara dan pada masa sama kekal teguh mempertahankan prinsip Reformasi, kedaulatan undang-undang serta perjuangan membanteras rasuah,” menurut kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








