PAS sasar Selangor sebagai medan tumbangkan PH di peringkat Persekutuan
TANJUNG KARANG – PAS menyasarkan Selangor sebagai medan menewaskan Pakatan Harapan (PH) dalam permulaannya menumbangkan gabungan itu di peringkat Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Selangor menjadi sasaran utama kerana kedudukannya sebagai kuasa ekonomi negara, lapor FMT.
“Jika PH tumbang di Selangor, PH akan tumbang di peringkat Persekutuan,” katanya pada perhimpunan jentera pilihan raya PAS Selangor di Kompleks PAS Selangor, di sini malam tadi.
Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah turut menggesa pengundi menilai PH berdasarkan rekod pentadbirannya, bukannya mesej politik yang dibawa.
“Bandingkan dengan prestasi kerajaan-kerajaan terdahulu. Apa yang PH sudah capai? Mereka sepatutnya tunjukkan kepada kita apa yang telah mereka lakukan ketika berkuasa,” katanya lagi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, PH memenangi 32 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor manakala PN memenangi 22 kerusi dan Barisan Nasional (BN) memperoleh baki dua kerusi.
PH dan BN kemudiannya membentuk kerajaan negeri.
FMT turut melaporkan, penganalisis sebelum ini melihat kerjasama yang lebih erat antara BN dan PN sebagai cabaran berpotensi terhadap kedudukan PH di Selangor, khususnya jika ia membawa kepada penyatuan undi Melayu yang lebih besar.
Bulan lalu, Timbalan Ketua Pemuda PKR Selangor, Shahrul Adnan, menggesa kepimpinan PH negeri mempertimbangkan semula kerjasama politik dengan BN susulan kerjasama BN-PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







