Abu Bakar tegaskan kedudukan sebagai MB Perlis kekal
KANGAR – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menegaskan kedudukannya dalam menerajui kerajaan negeri kekal dengan pentadbiran berjalan seperti biasa meskipun keahliannya dalam BERSATU digantung selama dua penggal pemilihan.
Beliau berkata, keputusan penggantungan itu adalah urusan dalaman parti dan tidak menjejaskan kedudukan serta kelancaran pentadbiran kerajaan negeri.
Katanya, beliau akan terus menjalankan tugas dan memikul amanah yang diberikan berdasarkan peruntukan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.
“Tidak ada kesan keputusan penggantungan parti dengan pentadbiran kerajaan negeri dan sesetengah pihak diminta jangan keliru dalam soal ini.
“Sebagai pemimpin atau ahli (BERSATU), soal penggantungan itu adalah urusan parti. Sebagai Menteri Besar, saya kekal meneruskan pentadbiran negeri mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Abu Bakar berkata, beliau akur dengan keputusan Lembaga Disiplin BERSATU dan akan mengemukakan rayuan rasmi mengikut saluran serta proses yang ditetapkan parti.
Semalam, media melaporkan beliau digantung hak keahliannya dalam BERSATU selama dua penggal pemilihan, berkuat kuasa 13 Oktober lalu, atas dakwaan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Penggantungan itu disahkan Pengerusi BERSATU Perlis, Izizam Ibrahim, selepas menerima surat bertarikh 14 Oktober yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Datuk Mohd Radzi Manan.
Susulan keputusan itu, Abu Bakar turut dilucutkan daripada semua jawatan yang disandangnya dalam parti. Bagaimanapun, beliau diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan BERSATU.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan, dilaporkan berkata pentadbiran negeri berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
Katanya, kedudukan kepemimpinan negeri turut bergantung pada pendirian enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Perlis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








