Kemelut politik Perlis: Isu 5 ADUN BERSATU akan dibincang Jan depan
CYBERJAYA – Isu lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BERSATU yang menarik balik sokongan kepada bekas menteri besar Perlis, Shukri Ramli akan dibincangkan dalam masa terdekat.
Laporan FMT hari ini yang memetik sumber terdekat dengan pimpinan parti itu berkata, mesyuarat bagi membincangkan perkara itu akan diadakan Januari depan.
“Sudah tentu perkara ini akan dibawa ke satu mesyuarat dalam masa terdekat yakni Januari.
“Buat masa sekarang tidak ada apa yang boleh dikatakan. Sesiapa pun tidak boleh kerana ia belum dibincangkan. Buat masa sekarang, parti atau sesiapa sahaja tidak boleh bertindak tanpa perkara ini dibincangkan terlebih dahulu,” kata sumber berkenaan.
Difahamkan, lima ADUN BERSATU yang didakwa terlibat adalah Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).
Parti PAS pada pada 25 Dis lalu berkata, pihaknya ‘berharap’ BERSATU mengambil tindakan tegas terhadap ADUN yang terlibat menandatangani akuan berkanun berkenaan, memandangkan kesan daripadanya menyebabkan situasi politik di Perlis menjadi kucar-kacir.
Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik sebagai berkata, tindakan tegas itu penting sebagai tanda hormat kepada rakan komponen dalam Perikatan Nasional.
Sementara itu, Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pihaknya berpegang pada pendirian Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu mendengar penjelasan lima wakil rakyat berkenaan terlebih dahulu.
“Parti akan mendengar penjelasan ADUN tersebut sebelum mengambil tindakan.
“Presiden juga telah jelaskan bahawa parti tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk tandatangan sebarang akuan berkanun,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








