Pelajar Tingkatan Lima maut motosikal rempuh lori.
TANJONG KARANG – Seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh bahagian tayar belakang sebuah lori di Jalan Mayang Rotan di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.43 pagi itu, mangsa berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat mengalami kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun dari arah Jalan Raja Musa menghala ke Jalan Mayang Rotan.
“Setibanya di lokasi, pemandu lori terbabit membelok masuk ke simpang kanan sebelum motosikal yang datang dari arah sama dipercayai tidak sempat mengelak.
“Motosikal itu kemudian melanggar bahagian tayar belakang kanan lori terbabit,” memetik Buletin TV3 online.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








