LUAR NEGARA

Jurukamera Al Jazeera antara 10 maut serangan Israel di Gaza

GAZA – Sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin termasuk seorang jurukamera Al Jazeera, terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam beberapa siri serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza sejak awal Sabtu.

Serangan itu mencetuskan dakwaan baharu mengenai pelanggaran perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak Oktober 2025.

Menurut agensi berita Anadolu yang memetik sumber perubatan dan saksi, jurukamera Al Jazeera Mubasher (Siaran Langsung), Ahmad Washah terbunuh selepas sebuah dron Israel menyerang sebuah rumah di Kem Al-Bureij di tengah Gaza.

Seorang lagi individu turut terkorban dalam serangan itu, manakala seorang lagi cedera.

Al Jazeera menerusi bahagian Mubasher mengesahkan kematian Washah, menjadikan beliau wartawan ke-12 daripada rangkaian media itu yang terbunuh di Gaza sejak konflik tercetus pada Oktober 2023.

Di Bandar Gaza pula, empat sekeluarga iaitu seorang lelaki, isterinya dan dua anak perempuan mereka terbunuh apabila dron Israel menyasarkan kediaman mereka berhampiran Persimpangan Al-Tayaran di pusat bandar.

Dalam insiden berasingan, seorang warga emas Palestin maut selepas tentera laut Israel melepaskan tembakan ke arah khemah penempatan penduduk yang dipindahkan di Jalan Al-Bahr, kawasan Al-Amadi, di barat Bandar Gaza.

Seorang lagi rakyat Palestin turut terbunuh, manakala seorang wanita mengalami kecederaan ringan apabila dron Israel menyerang sekumpulan pejalan kaki berhampiran bulatan Al-Saftawi di utara bandar itu.

Lima lagi penduduk cedera dalam satu lagi serangan dron yang menyasarkan orang awam di kawasan Sheikh Radwan.

Di Beit Lahia, seorang wanita dilaporkan maut akibat tembakan tentera Israel.

Sementara itu di Khan Younis, seorang rakyat Palestin terbunuh dan tujuh lagi cedera dalam serangan dron yang menyasarkan sekumpulan penduduk di bahagian barat bandar berkenaan.

Dua kanak-kanak lelaki turut cedera akibat tembakan tentera Israel berhampiran bulatan Abu Hamid di timur Khan Younis.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh Israel setakat ini telah mengorbankan 1,007 rakyat Palestin, manakala 3,165 lagi cedera.

Perjanjian gencatan senjata itu dicapai selepas perang selama dua tahun di Gaza yang menurut pihak berkuasa Palestin telah mengorbankan lebih 73,000 nyawa, mencederakan lebih 173,000 orang serta memusnahkan hampir 90 peratus infrastruktur awam di wilayah berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button