JENAYAH & MAHKAMAH

Dua lelaki maut tercampak dari kereta dalam nahas lima kenderaan di Second Link

ISKANDAR PUTERI – Dua lelaki maut dalam keadaan tragis selepas tercampak keluar dari kereta dinaiki mereka sebelum dirempuh motosikal dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 25.3 Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Second Link) arah Senai, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.40 pagi itu, mangsa yang maut ialah seorang lelaki warga India berusia 37 tahun dan seorang lelaki berketurunan Iban berusia 34 tahun.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, M Kumarasan berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta dinaiki kedua-dua mangsa hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan tengah lebuh raya.

“Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa tercampak keluar daripada kenderaan ke lorong kanan lebuh raya sebelum digilis sebuah motosikal yang datang dari arah belakang.

“Penunggang motosikal tersebut tidak sempat membrek lalu melanggar mangsa. Pemandu kereta terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, seorang lagi mangsa yang merupakan penumpang kereta turut tercampak keluar sebelum terjatuh di bawah jambatan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Iskandar Puteri di talian 07-5101322 bagi membantu siasatan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button