JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga sekeluarga maut, Myvi bertembung Hilux

BATU GAJAH – Tiga sekeluarga maut selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki bertembung dengan sebuah Toyota Hilux dalam kejadian di Kampung Batu 1, Jalan Tanjung Tualang, di sini malam tadi.

Dalam kemalangan itu, mangsa S Sarala Devi, 34, dan ibunya, G Sarasbathy, 65, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di dalam kenderaan, manakala anak Devi, S Shaastikka, 3, difahamkan meninggal dunia di Hospital Batu Gajah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.45 malam.

Menurutnya, sepasukan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah tiba ke lokasi empat minit kemudian dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah Perodua Myvi dan sebuah Toyota Hilux.

“Kedua-dua mangsa wanita tersepit di bahagian pemandu dan penumpang hadapan Perodua Myvi.

“Ketua operasi melakukan penilaian awal dan mengaplikasikan konsep SAVER sebelum mengarahkan anggota menjalankan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan khas hidraulik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala kanak-kanak terbabit dibawa ke hospital oleh kenderaan lain sebelum jentera tiba.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi menyelamat melibatkan enam anggota bomba dengan bantuan 15 anggota polis dan empat petugas KKM menggunakan sebuah jentera FRT sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.10 malam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button