PRN Melaka: Pakatan Harapan tidak ketepikan calon berpengalaman, gabung semua lapisan umur
KUALA LINGGI – Pemilihan calon muda bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan bermakna Pakatan Harapan (PH) mengetepikan calon lebih berusia, sebaliknya gabungan itu mahu menampilkan wakil daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang.
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, PH turut memberi peluang kepada golongan muda yang dinilai mempunyai kemampuan dan kelayakan untuk diketengahkan sebagai calon.
Menurutnya, pemilihan calon tidak seharusnya tertumpu kepada faktor usia semata-mata kerana calon berpengalaman juga mempunyai peranan dalam gabungan berkenaan.
“PH tidak kekurangan sokongan daripada anak-anak muda. Maka anak muda yang difikirkan layak dan berkeupayaan kita ketengahkan mereka dari awal.
“Begitu juga calon-calon wanita dan sebagainya. Saya nak gambarkan bahawa kita gabungan daripada semua lapisan umur,” katanya ketika ditemui selepas program kempen PH sempena PRN Melaka di Telok Gong, di sini, malam tadi.
Turut hadir, calon paling muda PH pada PRN Melaka, Mohammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah, yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi.
Baca juga : Isu DAP hanya modal politik raih undi Melayu – Mohamad Sabu
Mohamad berkata, beliau sendiri mula menjadi calon ketika berusia 27 tahun, sekali gus menunjukkan golongan muda juga berpeluang menyertai arena politik dan membawa tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan keyakinan AMANAH mampu memenangi kesemua tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu pada PRN Melaka kali ini.
“Kita yakin akan menang ke tujuh-tujuh, insya-Allah,” katanya lagi.
Beliau turut berharap pengundi Melaka membuat pertimbangan sewajarnya pada hari pengundian 14 November ini dan memberikan peluang kepada PH untuk mencipta perubahan di negeri berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















One Comment