Warga emas maut, pelajar cedera rempuh pokok tumbang di Kuala Kangsar
KUALA KANGSAR – Seorang warga emas maut, manakala seorang pelajar sekolah cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka merempuh sebatang pokok tumbang yang menghalang jalan di Jalan Kampung Senggang berhampiran Sungai Perak, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 6.58 pagi itu, mangsa yang maut merupakan lelaki berusia 72 tahun, manakala remaja lelaki berusia 17 tahun mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.58 pagi sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar digerakkan ke lokasi bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS).
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan dua buah motosikal iaitu Yamaha LC dan Yamaha Lagenda yang melanggar pokok tumbang yang menghalang laluan.
“Semasa pasukan bomba tiba di lokasi, didapati kemalangan melibatkan dua buah motosikal jenis Yamaha LC dan Yamaha Lagenda yang melanggar pokok tumbang di atas jalan.
“Remaja lelaki berusia 17 tahun yang juga pelajar sekolah cedera dan telah dibawa ke hospital oleh ambulans sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa warga emas disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.
Katanya, selepas memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada lagi risiko kepada pengguna jalan raya, pasukan bomba menyerahkan kawasan kejadian kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















