BERITA SEMASA

Rakyat Malaysia bersatu kecam pemandu cuai tanpa mengira kaum

KUALA LUMPUR – Sikap rakyat Malaysia yang menolak sentimen perkauman dalam isu kemalangan maut mendapat pujian apabila masyarakat pelbagai kaum dilihat bersatu mengecam pemandu cuai yang menyebabkan kehilangan nyawa.

Aktivis pendidikan, Cikgu Mohd Fadli Salleh berkata, reaksi orang ramai terhadap kes kemalangan di Simpang Renggam yang mengorbankan empat sekeluarga Melayu membuktikan bahawa rakyat masih mampu menilai sesuatu insiden secara adil dan rasional.

Menurut beliau, laporan mengenai kes tersebut yang disiarkan media berbahasa Cina menerima ratusan komen daripada masyarakat Cina sendiri yang mengecam tindakan pemandu berbangsa Cina yang didakwa berlumba sehingga mengakibatkan kemalangan maut itu.

“Alhamdulillah, rakyat Malaysia masih relevan dalam isu ini. Orang Cina sendiri tidak menyokong perbuatan remaja yang berlumba itu.

“Mereka pun tak puas hati pertuduhan yang dikenakan kepada pemandu itu ringan sangat hukumannya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau turut mengimbau satu lagi kes kemalangan maut yang berlaku di Terengganu bulan lalu melibatkan seorang pemandu Melayu dan mangsa berbangsa Cina.

Katanya, ketika itu masyarakat Melayu juga tidak mempertahankan pemandu terbabit hanya kerana berkongsi kaum yang sama, sebaliknya menzahirkan simpati terhadap keluarga mangsa serta mengecam tindakan pemandu berkenaan.

“Masa tu orang Melayu langsung tak backup driver Golf GTI walau pemandu itu Melayu.

“Semua menyatakan simpati pada keluarga mendiang Wah Han Keong dan mengecam pemandu Melayu tersebut.

“Kali ini, situasi berbeza dan dapat kita rumuskan bila kemalangan berlaku, tiada siapa bermain kad perkauman menyokong benda salah,” jelasnya.

Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai gambaran sebenar semangat perpaduan rakyat Malaysia yang masih kukuh, terutama apabila melibatkan isu kemanusiaan dan keselamatan awam.

“Inilah Malaysia,” ujarnya.

Hantaran itu berjaya meraih lebih 3,400 reaksi, 141 komen dan 179 perkongsian semula.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button