Pesara JKR maut dalam nahas dua kereta di Setiu
BANDAR PERMAISURI – Seorang pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) maut selepas kereta Proton Wira dipandunya bertembung dengan sebuah Proton Persona di Kilometer 44 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, berhampiran pekan Sungai Tong, di sini semalam.
Mangsa, Zulkefli Daud, 72, dari Kampung Jeli Seberang, Jeli, Kelantan, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas kemalangan kira-kira pukul 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan.
“Pemandu Proton Persona, wanita berusia 41 tahun yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke arah Kota Bharu, tidak sempat mengelak lalu berlaku pelanggaran.
“Pemandu Proton Persona mengalami kecederaan ringan, manakala mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dan kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zahril Asri berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut meminta saksi kejadian tampil ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








