BERITA SEMASA

Jerebu: Sekolah di Pulau Pinang beroperasi seperti biasa, aktiviti luar ditangguh

GEORGE TOWN – Semua sekolah di Pulau Pinang masih beroperasi seperti biasa susulan keadaan jerebu, namun semua aktiviti luar hendaklah ditangguhkan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan.

Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) berkata, pihaknya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berhubung kepentingan memelihara keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

Menurut JPNPP, pemantauan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dilaksanakan di empat stesen, iaitu Minden, Seberang Jaya, Seberang Perai dan Balik Pulau.

“Sehingga jam 9.55 malam, purata bacaan IPU di Pulau Pinang menunjukkan penurunan sebanyak 4.5 mata, daripada 129 kepada 124.5,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, JPNPP menegaskan bahawa sekiranya keadaan jerebu dan bacaan IPU mencapai atau melebihi tahap yang ditetapkan dalam garis panduan yang sedang berkuat kuasa, pihak institusi pendidikan perlu mengambil tindakan sewajarnya.

“Langkah berkenaan termasuk mengubah suai, menangguhkan atau membatalkan aktiviti luar bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan sentiasa terpelihara,” katanya.

Dalam pada itu, JPNPP menyeru ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa peka terhadap perkembangan semasa serta memantau tahap kesihatan anak masing-masing sepanjang tempoh jerebu.

Katanya, ibu bapa turut dinasihatkan mendapatkan maklumat menerusi saluran rasmi Kementerian Pendidikan (KPM), JPNPP dan pihak sekolah.

JPNPP berkata, kerjasama erat antara pihak sekolah dengan ibu bapa amat penting bagi memastikan kebajikan murid terus terpelihara sepanjang tempoh berkenaan.

“Keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan kekal menjadi keutamaan JPNPP,” katanya. 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button