BERITA SEMASA

TVET bukan lagi pilihan kedua – Zahid

KUALA LUMPUR – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya menjadi antara kekuatan utama negara dalam mendepani perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi, semikonduktor dan tenaga boleh baharu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, graduan TVET perlu melangkah lebih jauh bukan sahaja sebagai tenaga mahir, malah pencipta, inovator dan usahawan yang mampu menghasilkan produk bertaraf dunia.

“Teruja saya apabila dapat berdiri di hadapan anak-anak muda yang akan melangkah keluar sebagai tenaga mahir, pencipta idea dan bakal pemimpin industri negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Tengah di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.

Menurutnya, negara mahu melihat lebih ramai anak muda TVET menghasilkan produk yang boleh dibanggakan sebagai hasil ciptaan rakyat Malaysia atau ‘Made by Malaysian’.

zahid
Timbalan Perdana Menteri pada Majlis Konvokesyen POLYCC.

Dalam ucapannya, beliau turut menggariskan tiga perkara yang perlu diberi perhatian bagi memastikan graduan TVET kekal relevan dalam dunia pekerjaan yang berubah pantas.

Antaranya ialah penguasaan AI, data dan teknologi digital; memperkukuh inovasi gunaan bersama industri; serta membuka lebih banyak ruang kepada graduan untuk membina perusahaan sendiri.

“Kemahiran mungkin membuka pintu pertama. Namun, karakter, keupayaan menyesuaikan diri dan keberanian akan menentukan sejauh mana anda mampu melangkah,” katanya.

Beliau berkata, kemahiran yang dimiliki graduan TVET perlu disokong dengan kemampuan menyesuaikan diri, keberanian meneroka bidang baharu dan nilai peribadi yang kukuh.

Pada masa sama, beliau merakamkan tahniah kepada seluruh graduan, ibu bapa dan keluarga, pensyarah serta warga POLYCC atas kejayaan yang dicapai.

“Hari ini kita meraikan kejayaan anda. Selepas ini, biarlah Malaysia pula berbangga dengan apa yang anda jayakan. Insya-Allah,” katanya.

Pada majlis konvokesyen itu, seramai 6,862 individu diraikan merangkumi 29,609 graduan politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button