
PRN Melaka: Negara perlu kaya, bukan wakil rakyat – Saifuddin
KLEBANG – Kekayaan negara perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan kebajikan rakyat dan bukannya menjadi ruang kepada wakil rakyat atau pemimpin politik mengumpul kekayaan peribadi.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, matlamat sebenar seseorang dipilih sebagai wakil rakyat adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat serta memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati seluruh lapisan rakyat.
“Wakil rakyat bukan untuk diri jadi kaya. Negara kita kaya, wakil rakyat jangan kaya. Wakil rakyat kerja untuk rakyat. Biar negara jadi kaya.
“Negara yang kaya boleh menjaga kebajikan segenap lapisan rakyat. Itu tujuan kita memilih wakil rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Pakatan Harapan (PH) di Bilik Gerakan Utama (BGU) DUN Klebang, di sini, hari ini.
Menurutnya, pengurusan kewangan negara yang baik membolehkan kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan bagi mengurangkan beban perbelanjaan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang mempunyai anak masih bersekolah.
Beliau mengambil contoh Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM200 yang disalurkan kepada murid sekolah bagi membantu ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan seperti pakaian, beg, kasut dan alat tulis.
Malah, katanya, bantuan sebanyak RM2,500 kepada pelajar Tingkatan Enam turut mencerminkan usaha kerajaan memperluas sokongan kewangan dalam sektor pendidikan.
“Kalau ada tiga cucu yang bersekolah, keluarga itu boleh menerima RM600. Jadi, ibu bapa dapat sedikit kelegaan daripada segi perbelanjaan kerana kerajaan memberikan bantuan.
“Negara biar kaya, bukan wakil rakyat kaya dan bukan menteri kaya. Dengan kekayaan itu, kita bantu kebajikan rakyat termasuk mereka yang sakit, orang kurang upaya, nelayan, penjaja kecil, penoreh getah, pesawah dan warga emas,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata keupayaan kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter ketika pasaran minyak dunia berdepan kenaikan turut membuktikan kepentingan dasar subsidi dalam melindungi perbelanjaan rakyat.
Katanya, ketegangan geopolitik susulan konflik Amerika Syarikat dan Iran serta gangguan laluan perkapalan antarabangsa memberi kesan kepada harga minyak mentah dunia, namun subsidi kerajaan membantu mengelakkan kenaikan kos bahan api ditanggung sepenuhnya pengguna.
“Walaupun harga minyak mentah dunia meningkat, harga minyak di stesen minyak kita tidak naik kerana kerajaan MADANI memberikan subsidi supaya harga minyak kekal rendah.
“Apabila harga minyak rendah, kehidupan rakyat tidak terlalu terbeban dan mereka tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih besar untuk bahan api,” katanya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata pendekatan politik yang dibawa kerajaan perlu berteraskan usaha menyelesaikan masalah rakyat, bukannya memainkan sentimen perkauman dan agama sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Beliau menegaskan, usaha memperkukuh kedudukan sesuatu bangsa tidak seharusnya dilakukan dengan mengetepikan atau menekan kaum lain kerana tindakan sedemikian bertentangan dengan prinsip keadilan.
“Kita boleh sayangkan bangsa kita, tetapi bukan dengan cara apabila bangsa kita menjadi kuat, mesti bangsa lain kita tekan. Itu bukan keadilan dalam Islam.
“Politik di Melaka jangan beri tempat kepada pihak yang cuba melaga-lagakan masyarakat. Kita perlu fokus kepada sebab rakyat memilih wakil rakyat, iaitu untuk membantu menyelesaikan masalah mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak pengundi DUN Klebang memberikan peluang kepada calon PH, Nana, yang disifatkannya sebagai pilihan untuk menjadi penghubung antara masyarakat setempat dengan kepimpinan kerajaan dalam usaha mempercepat penyelesaian isu rakyat.
Saifuddin turut mengingatkan bahawa wakil rakyat perlu mudah dihubungi dan sentiasa bersedia mendengar aduan masyarakat, selain memastikan setiap permasalahan yang dibangkitkan mendapat perhatian sewajarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














