Formula jajaran politik Negeri Sembilan mungkin dibawa ke Melaka
AYER KEROH – Jajaran politik yang dibentuk ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berkemungkinan diperluaskan ke Melaka pada pilihan raya akan datang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat MKT, 28 Ogos ini yang akan dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, mesyuarat berkenaan akan meneliti strategi terbaik bagi memastikan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan di Melaka.
“Setakat ini, belum ada keputusan muktamad mengenai hala tuju politik BN di Melaka, termasuk sebarang kerjasama dengan parti lain.
“Apa yang berlaku sekarang adalah spekulasi media dan kenyataan daripada pelbagai pihak mengenai kemungkinan penjajaran yang membabitkan BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infrastruktur Awam Pelanggan Kementerian Bil. 3/2026 di Seri Negeri, hari ini.
Ahmad berkata, mesyuarat pada 28 Ogos itu amat penting kerana perkara berkaitan PRN Melaka, Johor dan Negeri Sembilan akan dibentangkan kepada MKT.
Beliau berkata akan mengemukakan pandangannya mengenai strategi BN di Melaka sekiranya tiada anggota MKT lain membangkitkan perkara berkenaan.
“Jika tiada siapa yang membangkitkannya, saya sendiri akan membawanya kerana saya sentiasa berkongsi pandangan dan cadangan dalam setiap mesyuarat MKT.
“(Bagaimanapun) Apa yang akan saya cadangkan masih menjadi rahsia,” katanya.
Ahmad turut menggesa semua pihak mematuhi keputusan parti berhubung PRN Melaka, sambil menegaskan pendekatan politik BN perlu mengambil kira keadaan dan kesesuaian setiap negeri.
“Apa jua keputusannya, keutamaan adalah untuk memastikan kemenangan BN di Melaka,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








