BERITA SEMASA

Guru tunggu murid hingga hampir 8 malam, KPM diminta jelas skop tugas

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) digesa mengeluarkan garis panduan atau pekeliling yang jelas berhubung tanggungjawab guru menjaga murid selepas waktu persekolahan, susulan tular hantaran seorang guru yang masih menunggu murid di sekolah sehingga hampir pukul 8 malam.

Aktivis pendidikan, Mohd Fadli Salleh berkata, situasi berkenaan menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat mengenai sejauh mana tanggungjawab guru untuk menunggu murid yang masih belum dijemput ibu bapa atau penjaga selepas tamat sesi persekolahan.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai nasib guru sekiranya memilih untuk tidak menunggu murid dan berlaku sesuatu yang tidak diingini, termasuk kemungkinan ibu bapa membuat aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau mengambil tindakan undang-undang.

“Jika tak tunggu dan sesuatu berlaku kepada murid, dan parent buat report SISPAA atau saman, apa nasib cikgu itu?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, isu berkenaan sepatutnya diberi perhatian serius oleh KPM.

“Benda gini yang patut KPM terus keluarkan pekeliling atau kenyataan media untuk jaga kebajikan guru,” katanya.

Mohd Fadli turut mempersoalkan keutamaan KPM dalam menangani isu berkaitan kebajikan dan emosi guru, sambil mendakwa kementerian lebih pantas mengeluarkan kenyataan dalam isu disiplin membabitkan pelajar.

“Ni bab kebajikan guru, lembab dan buat tak endah. Kalau kes pelajar kena cubit, terus keluarkan kenyataan media.

“Sepatutnya KPM lebih menjaga kebajikan dan tangki emosi guru-guru terlebih dahulu,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button