Yayasan LTAT, USM perkasa anak warga ATM kuasai bidang STEM berteknologi tinggi
KUALA LUMPUR – Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) terus melangkah ke hadapan dalam memperkasa pendidikan anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pelaksanaan Program Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Sekolah Dalam Kem (SDK) Tahun 2026.
Yayasan LTAT dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu menyasarkan tujuh buah sekolah melibatkan seramai 401 pelajar SDK.

Katanya, buat permulaan, seramai 30 pelajar Tingkatan Empat Maktab Tentera Diraja (MTD) diberikan pendedahan kepada teknologi dron, pengaturcaraan dan kecerdasan buatan (AI) menerusi program selama dua hari bermula semalam di Kem Sungai Besi, di sini.
Selain MTD, program itu juga melibatkan 30 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak.
“Program pendidikan STEM SDK bertujuan memperkasa pendidikan dan kebolehpasaran anak-anak warga ATM dalam bidang berteknologi tinggi.
“Sesi perkongsian itu memberi gambaran tentang peranan STEM dalam industri aeroangkasa dan kejuruteraan selain peluang kerjaya yang tersedia dalam bidang berkenaan,” kata kenyataan tersebut.
Menurut Yayasan LTAT, tahap kefahaman pelajar antaranya dinilai melalui cabaran berkumpulan, kuiz pra serta pasca bengkel mengenai pengaturcaraan dron dan python selain pengesanan sasaran menggunakan perisian penglihatan komputer OpenCV.

Tambahnya, wakil MTD dan MRSM Terendak akan menyertai pertandingan dron di peringkat antarabangsa sekali gus membuktikan keupayaan pelajar SDK untuk bersaing di pentas global.
“Pembelajaran secara hands-on ini bukan sahaja membolehkan pelajar memahami bagaimana konsep Sains dan Matematik diterjemahkan kepada penyelesaian teknologi sebenar, malah menyemai minat berterusan terhadap STEM.
“Selain itu, pendedahan sebegini mampu mengembangkan kemahiran inovasi dan kreativiti pelajar serta menggalakkan mereka meneruskan pengajian dan kerjaya dalam bidang teknikal dan kejuruteraan,” katanya.
Ujar Yayasan LTAT, inisiatif itu turut direlaisasikan melalui sumbangan Global Turbine Asia Sdn. Bhd. sebagai sokongan pihak industri kepada akses pendidikan STEM buat pelajar.
Sehubungan itu, Yayasan LTAT akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak industri dan institusi pengajian tinggi.
“Ia bagi memastikan anak-anak warga ATM mendapat peluang untuk menguasai ilmu dan kemahiran teknologi sejajar dengan perkembangan ekonomi digital negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








