Yayasan LTAT tawar graduan anak tentera peluang latihan beserta elaun
KUALA LUMPUR – Anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menamatkan pengajian di universiti tetapi belum mendapat pekerjaan akan ditawarkan peluang mengikuti program latihan selama setahun dengan elaun RM2,000 sebulan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif oleh Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) itu bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memastikan mereka tidak terputus peluang untuk membina kerjaya.
Beliau memberitahu, peluang tersebut terbuka kepada semua graduan anak anggota ATM yang keluar universiti namun belum mendapat pekerjaan dalam tempoh setahun, selaras dengan usaha kementerian memperkukuh kebajikan anggota tentera dan keluarga.
“Latihan ini akan memberi pendedahan kemahiran dan pengalaman sebenar di pasaran kerja, seterusnya membantu mereka bersedia untuk mendapatkan pekerjaan tetap,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) Tahun 2025 di Wisma Perwira ATM, semalam.
Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain; Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris; Pengerusi LTAT, Tan Sri Azizan Ariffin; Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi; dan Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Mohamad Nizar Sudin.
Majlis anjuran Yayasan LTAT itu mengiktiraf seramai 246 penerima, termasuk anak anggota ATM dan kakitangan awam Kementerian Pertahanan, yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berjaya melanjutkan pengajian ke universiti awam serta luar negara.
Mohamed Khaled memaklumkan seramai 555 anak anggota ATM memperoleh keputusan cemerlang SPM, manakala 19 orang diterima masuk ke universiti luar negara dan 128 orang ke universiti dalam negara.
Pada majlis sama, City University Malaysia menawarkan biasiswa penuh berjumlah RM5 juta kepada anak anggota ATM, manakala Kings University College menaja biasiswa bernilai RM2 juta yang membabitkan 20 pelajar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


