Program K²T Yayasan LTAT pertingkat kemahiran keluarga ATM, lahir komuniti berdaya saing
KUALA LUMPUR – Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) terus memperkukuh usaha memperkasa kemahiran serta kesejahteraan keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T).
Menurut Yayasan LTAT, program berkenaan membuka ruang kepada keluarga ATM untuk meningkatkan kompetensi, memperoleh kemahiran baharu, menjana pendapatan serta memperkukuh pembangunan sosioekonomi keluarga.
Menurut kenyataan itu, usaha berkenaan diteruskan menerusi penganjuran Program Jelajah Inisiatif Yayasan LTAT Bersama Warga 4 Divisyen dan Ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) yang menjadi platform perkongsian pelbagai inisiatif pendidikan, kemahiran dan kebajikan kepada warga ATM.
“Melalui pendekatan jelajah ke formasi dan kem tentera di seluruh negara, Yayasan LTAT memastikan maklumat berkaitan pelbagai inisiatif disediakan dapat disampaikan secara lebih menyeluruh dan terus kepada kumpulan sasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, sepanjang program berlangsung, Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin turut menyampaikan taklimat berkaitan inisiatif pendidikan, kemahiran dan kebajikan Yayasan LTAT.
Taklimat itu turut merangkumi usaha berterusan organisasi berkenaan dalam memperkasakan pembangunan modal insan serta meningkatkan kesejahteraan keluarga ATM.
Turut hadir, Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Mohd Shauari Mat Piah; Panglima 11 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Pahlawan Safwan @ Asri Ismail; Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Rosli Abu Bakar dan Panglima 12 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Fazli Mt Idris.
Menurut kenyataan itu lagi, warga 4 Divisyen dan ahli BAKAT turut berpeluang mendapatkan pendedahan mengenai pelbagai inisiatif yang ditawarkan termasuk peluang melanjutkan pengajian, latihan kemahiran menerusi kerjasama strategik dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), selain penyertaan dalam Program K²T.
Katanya, program berkenaan turut melibatkan sesi taklimat mengenai prosedur serta pendaftaran K²T bagi memberikan penerangan lebih jelas kepada peserta berkaitan peluang latihan kemahiran yang disediakan.
“Program berkenaan menawarkan pelbagai kursus berasaskan kemahiran yang memberi nilai tambah kepada peserta melalui pembangunan pengetahuan, peningkatan kompetensi serta pembentukan kemahiran praktikal yang mampu meningkatkan kebolehpasaran, memperkukuh keupayaan menjana pendapatan dan menyokong kesejahteraan ekonomi keluarga.
“Yayasan LTAT berharap Program K²T akan terus menjadi platform yang mampu memperluaskan akses kepada latihan kemahiran berkualiti, sekali gus melahirkan lebih ramai ahli keluarga ATM berkemahiran tinggi, berdaya saing dan berupaya meningkatkan kesejahteraan ekonomi keluarga.
“Program ini juga diharapkan dapat memperkukuh keupayaan komuniti ATM dalam memanfaatkan peluang pembangunan diri dan menyokong aspirasi pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.
Yayasan LTAT berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan komitmennya untuk memastikan keluarga ATM mendapat akses lebih luas kepada peluang pembangunan diri, pendidikan dan kemahiran yang mampu memberi manfaat jangka panjang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















