BERITA SEMASA

Kerajaan komited bantu pembangunan rumah generasi kedua FELDA

SEREMBAN – Kerajaan MADANI komited memastikan pembangunan rumah untuk generasi kedua FELDA terus diperkasa sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesejahteraan keluarga peneroka.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Dr Jufitri Joha berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi pengumuman tujuh inisiatif strategik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Peneroka FELDA Ke-70 baru-baru ini yang memberi tumpuan kepada kebajikan peneroka serta masa depan generasi baharu FELDA.

Menurutnya, pengumuman itu membuktikan Kerajaan MADANI bukan sahaja menghargai jasa peneroka yang membangunkan negara sejak lebih tujuh dekad lalu, malah komited menyelesaikan pelbagai isu termasuk kewangan, pembangunan rumah generasi baharu dan kebajikan keluarga peneroka.

“Pakatan Harapan Negeri Sembilan percaya komitmen Kerajaan Persekutuan ini perlu diterjemahkan di peringkat negeri melalui dasar dan tindakan yang saling melengkapi.

“Atas sebab itu, manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan turut memberi penekanan khusus kepada pembangunan komuniti FELDA, pembangunan luar bandar serta pengukuhan sektor pertanian sebagai antara agenda utama Negeri Sembilan Maju 2045,” katanya pada sidang media Pakatan Harapan di Bilik Gerakan Utama PH, di sini hari ini.

Dr Jufitri berkata, PH Negeri Sembilan komited bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dan pihak FELDA bagi memastikan semua projek yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan lancar di negeri itu.

Katanya, kerjasama itu meliputi penyediaan kemudahan asas, pembangunan komuniti serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi kedua dan ketiga FELDA.

Beliau berkata, manifesto PH turut memberi penekanan kepada pembangunan luar bandar melalui penambahbaikan infrastruktur termasuk jalan raya, bekalan air bersih, capaian internet berkualiti dan kemudahan awam supaya tiada kawasan tercicir daripada arus pembangunan.

Dalam masa sama, katanya, sektor pertanian akan terus diperkasakan menerusi penggunaan teknologi, amalan Pertanian Pintar (Smart Farming), pembangunan usahawan tani serta Program Petani Muda bagi menarik lebih ramai golongan muda menyertai sektor agromakanan.

“Usaha ini bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan petani, malah penting bagi memperkukuhkan keterjaminan bekalan makanan negeri dan negara,” katanya.

Menurut beliau, PH berpandangan pembangunan sebenar ialah pembangunan yang dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi.

“Kemajuan tidak boleh hanya tertumpu di bandar-bandar utama. Kemajuan mesti sampai ke FELDA, kampung, petani, pekebun kecil, penternak dan nelayan.

“Tiada rakyat yang harus dipinggirkan dan tiada daerah yang harus ketinggalan.

“Dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang sehaluan serta stabil, agenda pembangunan FELDA, luar bandar dan sektor pertanian dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan demi kesejahteraan seluruh rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button