BERITA SEMASA

PRN Negeri Sembilan: Peluang pekerjaan, masa depan anak muda jadi keutamaan PH di Jeram Padang

JEMPOL – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Manivanan Gowin berikrar menjadikan peluang pekerjaan dan pembangunan masa depan golongan muda sebagai keutamaan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut beliau, manifesto PH bagi Jeram Padang memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, menarik pelaburan baharu serta memperkukuh ekonomi setempat demi meningkatkan taraf hidup penduduk.

Katanya, Jeram Padang mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai kawasan yang mampu menarik pelaburan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Pembangunan sebenar bukan sekadar membina infrastruktur, tetapi memastikan rakyat mempunyai pekerjaan yang stabil, pendapatan yang lebih baik dan peluang menikmati kehidupan yang lebih berkualiti. Itulah komitmen saya kepada anak muda di seluruh Jeram Padang,” katanya dalam sidang media hari ini.

Manivanan
Manivanan Gowin berikrar menjadikan peluang pekerjaan dan pembangunan masa depan golongan muda sebagai keutamaan.

Beliau turut menegaskan bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan tempatan akan diberi sokongan menyeluruh melalui akses kepada latihan, pembiayaan, pemasaran dan pendigitalan perniagaan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi kawasan.

Selain itu, Manivanan berkata pembangunan belia akan diperkukuhkan menerusi pelaksanaan program latihan TVET, latihan keselamatan dan pekerjaan melalui Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), pembangunan kemahiran digital, keusahawanan serta program pembangunan bakat bagi meningkatkan kebolehpasaran anak muda.

Sementara itu beliau turut merancang memperluaskan penyertaan belia dan penduduk luar bandar dalam program pembangunan ekonomi desa seperti Desa MAHA yang memberi penekanan kepada pertanian moden, penternakan, akuakultur serta pengurusan pemasaran produk desa hingga ke peringkat kebangsaan.

Menurutnya, inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan membantu golongan muda mendapatkan pekerjaan, malah melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu bersaing serta menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button