JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen tahan wanita Indonesia tawar khidmat ejen haram

SHAH ALAM – Seorang wanita warga Indonesia ditahan kerana disyaki menggunakan aplikasi media sosial bagi mempromosi perkhidmatan imigresen haram, termasuk mengatur pergerakan pendatang menerusi laluan tidak sah.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, wanita berusia 31 tahun itu ditahan di sebuah premis kediaman di Seksyen U15, di sini, Isnin lepas selepas risikan selama sebulan.

Operasi bermula pukul 10 pagi itu dilaksanakan oleh pegawai dari Bahagian Risikan dan Operasi Khusus Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Operasi ini dijalankan susulan maklumat yang diterima daripada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasil siasatan mendapati, wanita berkenaan dipercayai beroperasi sebagai ejen imigresen haram selama kira-kira setahun menggunakan aplikasi TikTok untuk mengiklankan perkhidmatan berkaitan imigresen yang menyasarkan warga Indonesia di sekitar Lembah Klang.

Perkhidmatan itu merangkumi urusan di bawah Program Repatriasi Migran, permohonan Pas Khas serta memudah cara kemasukan dan keluar pendatang menerusi laluan yang tidak diwartakan.

“Suspek juga dipercayai menawarkan bantuan untuk mendapatkan dokumen perjalanan kecemasan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Indonesia.

“Dia mengenakan bayaran antara RM700 hingga RM3,000 bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan dan dipercayai telah beroperasi selama kira-kira setahun,” katanya.

Zakaria menambah, pihaknya menyita dua pasport Indonesia, satu set kunci rumah, dua telefon bimbit, sebuah buku rekod pelanggan serta wang tunai RM4,000 yang dipercayai hasil daripada aktiviti berkenaan.

“Susulan pemeriksaan lanjut, pegawai penguat kuasa kemudiannya bergerak ke sebuah syarikat kurier di Puncak Alam dan menyita satu bungkusan mengandungi satu lagi pasport Indonesia yang dihantar pelanggan kepada suspek,” katanya.

Beliau berkata, wanita itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(l) dan Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63, serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button