Terma Waze tetapkan bidang kuasa mahkamah Israel bagi pertikaian perkhidmatan – MKN
PUTRAJAYA – Kerajaan memandang serius pengumpulan data lokasi, pergerakan, perjalanan dan maklumat peranti pengguna oleh aplikasi navigasi Waze, khususnya susulan terma penggunaannya yang menetapkan undang-undang serta bidang kuasa mahkamah Israel bagi pertikaian berkaitan perkhidmatan itu.
Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), perlindungan data rakyat dan kedaulatan maklumat negara mesti sentiasa diutamakan, termasuk dalam menilai implikasi penggunaan aplikasi yang tertakluk kepada undang-undang serta bidang kuasa Israel.
Sehubungan itu, kerajaan menyarankan penjawat awam dan rakyat Malaysia beralih daripada aplikasi navigasi Waze kepada aplikasi tempatan seperti TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), atau aplikasi tempatan lain yang bersesuaian.
“Kerajaan menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap sebarang risiko keselamatan yang melibatkan Israel,” kata MKN sambil menegaskan kemudahan teknologi tidak boleh mengatasi tuntutan keselamatan negara.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, orang ramai boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang disediakan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan MKN, Jabatan Perdana Menteri menerusi https://www.nacsa.gov.my/faq-waze.php.
Baca juga : Anggota perkhidmatan awam dilarang guna aplikasi Waze
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan penggunaan Waze dilarang dalam kalangan penjawat awam bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.
“Maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi rakyat mesti dilindungi daripada diperalat rejim Israel hingga menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


