BERITA SEMASA

SK Dengkil dipilih sekolah angkat Cyberview, rapatkan jurang pendidikan digital

DENGKIL – Cyberview Sdn Bhd telah memilih Sekolah Kebangsaan (SK) Dengkil sebagai sekolah angkat di bawah Program Sekolah Angkat MADANI (PSAM) dalam usaha memperkasa pendidikan digital dan memupuk minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul Ariffin Abdul Samad berkata, inisiatif itu merupakan komitmen syarikat dalam menyahut saranan kerajaan bagi merapatkan jurang pendidikan antara komuniti setempat dengan kepesatan teknologi di Cyberjaya.

Beliau menegaskan, bantuan tersebut bertujuan memastikan murid-murid di kawasan itu tidak ketinggalan dalam arus modenisasi teknologi yang berlaku di depan mata mereka.

“Bagaimana mungkin anak-anak kita mahu mendepani cabaran dunia luar jika peranti di sekolah usang dan makmalnya tidak kondusif.

“Cyberview bertanggungjawab memastikan anak-anak SK Dengkil tidak sekadar menjadi penonton, sebaliknya pemain utama dalam hab teknologi global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Dengkil kali ke-48 dan Majlis Peluncuran Logo Sambutan 100 Tahun sekolah berkenaan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Guru Besar SK Dengkil, Maznah Mohd Noor dan Yang Dipertua PIBG, Mohamad Shahir Jamalludin.

Kamarul Ariffin turut menekankan penguasaan bidang STEM kini adalah keperluan kritikal bagi memastikan generasi masa depan tidak “terjajah” oleh penguasaan data dan teknologi asing.

“Penjajahan baru pada masa akan datang adalah kepada sesiapa yang menguasai teknologi dan data. Tanpa penguasaan teknologi peribumi (indigenous technology), kita akan terjajah tanpa perlu peperangan fizikal,” tambahnya.

Sebagai langkah awal katanya, Cyberview telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM10,000 bagi menaik taraf kemudahan di makmal komputer sekolah berkenaan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

SK Dengkil yang ditubuhkan pada tahun 1926 bakal menyambut ulang tahun ke-100 tahun ini, sekali gus menandakan satu abad peranannya dalam melahirkan modal insan di daerah Sepang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button