BERITA SEMASA

Integriti dalam sektor kesihatan perlu sentiasa telus

KUALA LUMPUR – Pengukuhan integriti dalam sektor kesihatan adalah penting bagi memastikan pengurusan hospital, khususnya urusan perolehan, pelantikan pembekal dan pembayaran, dilaksanakan secara telus serta bebas daripada amalan rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, rasuah bukan hanya berkaitan dengan wang yang bertukar tangan, tetapi bermula apabila prinsip integriti dikompromi, peraturan diketepikan dan amanah dianggap sebagai hak peribadi.

“Setiap individu perlu memahami bahawa kuasa dan kedudukan bukan keistimewaan untuk kepentingan diri, sebaliknya amanah yang perlu dilaksanakan secara telus serta bertanggungjawab. Amalan yang telah lama dilakukan juga tidak semestinya betul sekiranya bercanggah dengan prinsip integriti.

“Justeru, Ikrar Bebas Rasuah tidak seharusnya sekadar lafaz dalam sesuatu majlis, tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan, keputusan dan amalan kerja seharian,” katanya ketika berucap pada Program Kesedaran Antirasuah dalam Pengurusan Tatakelola dan Majlis Ikrar Bebas Rasuah di Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2), di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Hairuzam Mohamad Amin @ Hamim serta Presiden dan Ketua Eksekutif, Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.

Abd Halim seterusnya berkata, dalam sektor kesihatan, integriti memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan pesakit serta mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan diberikan.

Justeru, setiap keputusan perlu dibuat berdasarkan keperluan pesakit, pertimbangan profesional dan kepentingan perkhidmatan, tanpa dipengaruhi kepentingan atau campur tangan yang tidak wajar.

Aspek pencegahan rasuah juga perlu diberi perhatian dalam keseluruhan operasi hospital, khususnya proses perolehan ubat-ubatan dan peralatan perubatan, pelantikan pembekal, pengurusan kontrak serta pembayaran.

Pada masa sama, budaya integriti perlu diterapkan melalui layanan mesra kepada pesakit dan pematuhan prosedur kerja bagi memastikan setiap urusan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Sehubungan itu, SPRM menyambut baik perancangan DSH2 untuk melaksanakan latihan dalaman Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) bagi memperkukuh keupayaan organisasi mengenal pasti risiko rasuah, meningkatkan kawalan dalaman, mengurus konflik kepentingan serta melaksanakan dasar integriti dengan lebih berkesan.

Sementara itu, Pegawai Pimpinan (OIC) KPJ Healthcare Berhad, Profesor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid berkata, pihaknya sentiasa menekankan kepentingan integriti dalam memelihara kepercayaan pesakit, warga kerja, pembekal dan rakan perniagaan.

Beliau berkata, tadbir urus yang baik serta amalan kerja berintegriti perlu menjadi tanggungjawab bersama bagi memastikan organisasi beroperasi secara telus, profesional dan bertanggungjawab.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button