BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Ahli Parlimen Padang Serai ditahan SPRM, pertukaran status jadi perhatian

ALOR SETAR – Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin mengesahkan beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan projek usahasama ternakan lembu di bawah kerajaan negeri Kedah.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan tindakan mengejut menukar statusnya daripada saksi kepada tertuduh.

Azman berkata, beliau sebelum ini hadir ke pejabat SPRM Kedah pada 25 Mac lalu sebagai saksi bagi membantu siasatan projek feedlot di bawah Kedah Agro tetapi pagi semalam dimaklumkan untuk bertemu pegawai penyiasat di R&R Sungai Buloh arah utara.

“Setibanya di lokasi, saya dimaklumkan bahawa saya bukan lagi dipanggil untuk memberi keterangan, sebaliknya akan didakwa di mahkamah,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di media sosial.

Beliau menegaskan pertukaran status itu terlalu drastik dan menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan wujud unsur tekanan politik untuk menjejaskan imejnya sebagai wakil rakyat Perikatan Nasional (PN).

Azman turut memberitahu bahawa dua lagi individu dijangka akan dituduh bersama beliau di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin ini.

Walaupun tidak bersetuju dengan cara penahanan itu dijalankan, beliau menegaskan akan hadir ke mahkamah pada pukul 8.30 pagi untuk mendengar pertuduhan dan mempertahankan dirinya.

“Saya bersedia hadapi tuduhan ini. Kita akan lawan ikut saluran undang-undang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan SPRM menahan seorang ahli Parlimen susulan aduan diterima pada 10 Februari lalu.

Siasatan membabitkan 15 saksi yang sudah dipanggil untuk membantu menyiasat projek ternakan lembu berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button