BERITA SEMASA

SPRM terima maklumat isu kualiti anak benih sawit Felda Palong 7

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima maklumat daripada Pengerusi Pertubuhan Badan Bertindak Generasi Palong berhubung persoalan dan kebimbangan mengenai kualiti anak benih sawit serta pelaksanaan program pembangunan dan tanam semula di Felda Palong 7.

SPRM dalam kenyataan berkata, maklumat berkenaan membabitkan program pembangunan yang dilaporkan memberi manfaat kepada kira-kira 450 peneroka.

Menurutnya, perkara yang dibangkitkan termasuk aspek pembekalan, penghantaran, penyimpanan, umur serta pematuhan spesifikasi anak benih sawit yang dibekalkan.

“SPRM mengambil maklum dakwaan dan kebimbangan dibangkitkan serta akan meneliti maklumat berkenaan bagi menentukan sama ada terdapat sebarang elemen yang mempunyai kaitan dengan kesalahan di bawah bidang kuasa suruhanjaya ini.

“SPRM turut mengambil perhatian terhadap permohonan supaya aspek teknikal berkaitan kualiti dan pematuhan spesifikasi anak benih diperiksa oleh agensi teknikal yang berkaitan.

“Sebarang tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan hasil penelitian dan maklumat yang diperoleh,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, SPRM menegaskan penerimaan maklumat berkenaan tidak bermaksud mana-mana pihak telah melakukan kesalahan.

“Perkara tersebut tidak wajar dianggap sebagai satu kesimpulan terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat,” katanya.

Semalam, generasi baharu peneroka Felda Palong 7 menggesa SPRM menyiasat pelaksanaan program pembangunan dan tanam semula tanaman sawit yang dianggarkan bernilai antara RM70 juta hingga RM80 juta.

Wakilnya, Mohd Syahrizal Md Yusuf berkata, program itu membabitkan pertukaran tanaman getah kepada sawit melibatkan kira-kira 450 peneroka dan mempunyai kepentingan besar terhadap sumber pendapatan mereka untuk jangka panjang.

Mereka turut menyuarakan kebimbangan berhubung kemungkinan berulangnya isu pembangunan semula tanaman yang berlaku kira-kira 17 tahun lalu sehingga menjejaskan pendapatan peneroka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button