BERITA SEMASA

Pementasan drama tari ‘Odes to Heroes’ rai ulang tahun ke-52 hubungan diplomatik China, Malaysia

KUALA LUMPUR – Drama tari berskala besar dari China, “Odes to Heroes” berjaya memukau penonton tempatan menerusi tiga pementasan di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre baru-baru ini, sekali gus melengkapkan siri jelajahnya di Malaysia.

Dipersembahkan khas oleh Guangzhou Song and Dance Theatre, pementasan tersebut merupakan acara utama sempena “Minggu Budaya Guangzhou 2026” bagi meraikan ulang tahun ke-52 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia.

Dua unsur utama yang menggerakkan jalan cerita persembahan ini ialah qiaopi iaitu surat serta kiriman wang tradisi masyarakat Cina di luar negara dan sepasang kayu pemukul tarian Yingge.

Kedua-dua elemen itu berfungsi sebagai simbolik penghubung emosi serta ikatan sejarah antara dua generasi.

Naskhah berkenaan mengetengahkan tarian rakyat tradisional Chaoshan Yingge yang menceritakan kisah watak Chen Xinyuan merentasi masa dan ruang.

Ia turut memaparkan jerit perih generasi terdahulu masyarakat Chaoshan yang berhijrah ke Asia Tenggara demi kelangsungan hidup.

Pengarah Bersama 24 Festive Drums Malaysia, Tan Chai Puan menyifatkan drama tari itu bukan sekadar menampilkan tenaga dan gabungan seni mempertahankan diri yang mengagumkan, malah sarat dengan emosi yang syahdu dan menyentuh jiwa.

Bagi melengkapkan elemen persembahan, pihak produksi turut menyerapkan pelbagai warisan budaya tidak ketara Lingnan seperti Opera Chao, ukiran kayu Chaozhou, sulaman Chaozhou, dan tanglung kertas minyak, disamping gabungan elemen moden seperti rap Teochew dan elemen multimedia.

Selepas melengkapkan siri pementasan di Singapura dan Malaysia, syarikat produksi berkenaan dijadualkan meneruskan jelajah budaya mereka ke Bangkok, Thailand.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button