BERITA SEMASA

Tiada keperluan bawa pulang penuntut Malaysia dari Arab Saudi – Zambry

LUMUT – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan tiada keperluan setakat ini untuk membawa pulang penuntut Malaysia yang berada di Arab Saudi susulan insiden serangan di dua lapangan terbang antarabangsa di negara berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, keputusan itu dibuat memandangkan majoriti penuntut Malaysia berada jauh dari lokasi serangan, selain laporan terkini mengesahkan semua rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat.

Bagaimanapun, katanya, KPT dan Kementerian Luar (Wisma Putra) sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

“KPT sentiasa berhubung rapat dengan Kementerian Luar yang akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini.

“Setakat ini tiada keperluan untuk penghantaran pulang penuntut. Pemantauan rapi juga dilakukan memandangkan mereka berada di beberapa kawasan utama seperti Makkah dan Madinah,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Bantuan Pendidikan Bersasar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Dewan Mohd Anwar, TVETMara Lumut, di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 400 penuntut IPT daripada keluarga B40 di sekitar Parlimen Lumut menerima bantuan kewangan ‘one-off’ sebanyak RM500 sebagai persediaan mendaftar masuk ke pengajian tinggi.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, laporan rasmi setakat ini mengesahkan tiada penuntut terjejas atau berada di kawasan berisiko.

“Tiada laporan yang menunjukkan keselamatan mereka dalam bahaya, namun jika ada keperluan kelak, perbincangan lanjut akan diadakan bersama Kementerian Luar,” katanya.

Terdahulu, Wisma Putra mengesahkan tiada laporan rakyat Malaysia yang terkorban atau cedera dalam insiden serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, Riyadh dan Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd, Dammam.

Menurut Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh sedang berhubung rapat dengan beberapa warganegara yang terkandas akibat gangguan penerbangan bagi menghulurkan bantuan konsular yang diperlukan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button