BERITA SEMASALUAR NEGARA

Rakaman telefon dedah Sheikh Hasina arah tembak pelajar protes

DHAKA – Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, didakwa mengeluarkan arahan secara terbuka kepada pasukan keselamatan untuk menggunakan senjata api terhadap pelajar yang menyertai demonstrasi besar-besaran menentang pemerintahannya tahun lalu.

Pendedahan mengejutkan itu didedahkan oleh Al Jazeera Investigative Unit (I-Unit) yang memperoleh rakaman perbualan telefon sulit antara Hasina dan beberapa sekutunya, termasuk Datuk Bandar Dhaka Selatan, Sheikh Fazle Noor Taposh.

Dalam rakaman bertarikh 18 Julai 2024, Hasina dengan jelas menyatakan:

“Arahan telah diberi. Saya telah keluarkan arahan terbuka sepenuhnya. Sekarang mereka akan guna senjata maut, tembak di mana sahaja mereka temui.” memetik laporan Al-Jazeera.

Pendedahan itu sekali gus mengukuhkan dakwaan bahawa pentadbiran Hasina bertanggungjawab terhadap tindakan keras ke atas peserta tunjuk perasaan yang menuntut reformasi pilihan raya dan kebebasan akademik.

Menurut Tribunal Jenayah Antarabangsa Bangladesh (ICT), tindakan keras oleh pasukan keselamatan sepanjang gelombang protes berdarah itu mengakibatkan hampir 1,400 orang terbunuh manakala lebih 20,000 lagi cedera.

Hasina kemudiannya meletak jawatan dan melarikan diri ke India pada 5 Ogos 2024.

Protes besar-besaran pada tahun lalu yang membawa kepada penggulingan Sheikh Hasina yang kini mencari perlindungan di India.

Rakaman berkenaan turut mendedahkan rancangan menggunakan helikopter untuk mengawal perhimpunan.

Ketika itu, pihak berkuasa keselamatan menafikan penggunaan senjata dari udara, namun seorang doktor kecemasan di Hospital Kolej Perubatan Popular Dhaka, Dr. Shabir Sharif, mengesahkan bahawa tembakan dilepaskan dari helikopter ke arah pintu masuk hospital mereka.

“Kami merawat ramai pelajar yang mengalami kecederaan peluru luar biasa. Peluru itu menembusi dada dan bahu, dan kebanyakannya tidak keluar. Bila kami jalankan X-ray, kami dapati peluru bersaiz besar tertanam dalam tubuh mereka,” katanya.

Pakar forensik audio telah menganalisis rakaman tersebut bagi memastikan ia bukan hasil manipulasi kecerdasan buatan (AI), dan pengesahan suara dilakukan bagi mengenal pasti identiti pemanggil.

Setakat ini, Sheikh Hasina belum memberikan sebarang kenyataan balas berhubung pendedahan tersebut.

Pihak antarabangsa kini mendesak siasatan lanjut dijalankan ke atas jenayah terhadap kemanusiaan sepanjang era pentadbirannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button