Insiden pelajar maut ditikam jadi tamparan kepada KPM – Ketua Pengarah Pendidikan
PUTRAJAYA – Insiden seorang pelajar ditikam sehingga maut di sebuah sekolah di Selangor hari ini menjadi tamparan hebat kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dalam usaha memastikan kawasan sekolah kekal sebagai tempat yang selamat.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi menyiasat semua aspek kes berkenaan secara tuntas, telus dan adil.
“KPM tidak menganggap kes-kes sebegini sebagai terpencil. Insiden ini adalah tamparan tegas kepada kami untuk memperkukuh keselamatan pelajar serta kesejahteraan mental mereka,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Dr Mohd Azam turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memberi jaminan bahawa KPM akan bersama mereka bagi memberikan sokongan dan bantuan sewajarnya dalam menghadapi saat sukar ini.
Menurut beliau, KPM kini bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkukuh pemantauan serta pelaksanaan langkah keselamatan tambahan di semua sekolah di seluruh negara.
“Langkah ini termasuk meningkatkan kawalan di kawasan sekolah bagi memastikan persekitaran pembelajaran benar-benar selamat untuk pelajar,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pentadbir sekolah yang terlibat dalam kes berkenaan akan dipindahkan sementara ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sehingga siasatan selesai dijalankan.
Selain itu, katanya, pasukan kaunselor serta guru bimbingan dan kaunseling turut digerakkan bagi melaksanakan program intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah yang terkesan dengan tragedi itu.
“KPM berikrar untuk menggandakan usaha memperbaiki kelemahan sedia ada bagi memastikan sekolah benar-benar menjadi kawasan selamat untuk anak-anak kita,” katanya lagi.
Dr Mohd Azam turut menyeru semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa, komuniti dan pihak berkuasa agar bersama-sama memainkan peranan bagi menjamin keselamatan pelajar.
“Keselamatan pelajar adalah tanggungjawab kita bersama dan setiap sekolah mesti menjadi kawasan selamat untuk anak-anak belajar dan membesar,” tegasnya lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengesahkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan susulan kejadian yang mengorbankan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, pagi tadi.
Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi di dalam kawasan sekolah dan disifatkan sebagai tragedi yang menyedihkan.
“Pelajar lelaki menikam pelajar perempuan dan mangsa disahkan maut di lokasi kejadian. Motif kejadian masih dalam siasatan dan kenyataan lanjut akan dikeluarkan Ketua Polis Selangor kemudian,” katanya lagi.
Difahamkan, suspek turut membawa senjata tajam dan mencederakan beberapa pelajar lain sebelum berjaya ditahan oleh pihak polis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








