80 peratus pertukaran guru babit pasangan duka lara – Fadhlina Sidek
IPOH – Hampir 80 peratus permohonan pertukaran guru di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) melibatkan kategori pasangan jarak jauh atau guru duka lara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM memahami situasi yang dihadapi guru-guru terbabit dan sentiasa mengambil kira aspek kebajikan dalam menguruskan permohonan pertukaran.
Menurutnya, kementerian juga telah mengambil beberapa langkah penambahbaikan termasuk mengurangkan tempoh permohonan pertukaran sebelum seseorang guru dibenarkan memohon pertukaran.
“Kalau kita lihat dari segi langkah-langkah yang telah kita ambil untuk memastikan bahawa isu-isu kebajikan guru seperti guru jarak jauh ini antara lain adalah mengurangkan tempoh permohonan untuk bertukar.
“Dalam konteks pasangan jarak jauh ini, Kementerian Pendidikan Malaysia memang memberikan keutamaan. Sebab itu dalam konteks permohonan perpindahan ini, 80 peratus adalah terkait dengan pasangan jarak jauh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas Majlis Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-55 di sini hari ini.
Tambah beliau, baki permohonan pertukaran pula melibatkan isu kesihatan dan keselamatan yang turut diberi perhatian oleh kementerian.
Katanya, KPM akan terus memastikan isu kebajikan guru diberikan keutamaan demi menjaga kesejahteraan warga pendidik di seluruh negara.
“Situasi ini kita sangat faham dan kita memang mengambil kira semua permohonan itu dan tujuan kita adalah untuk menjaga kebajikan guru-guru,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








