BERITA SEMASA

SPM 2025 catat GPK 4.42 mata, terbaik sejak KSSM diperkenal

PUTRAJAYA – Gred Purata Kebangsaan (GPK) calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 terus menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan 4.42 mata berbanding 4.49 mata pada tahun 2024, iaitu penambahbaikan sebanyak 0.07 mata.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, secara keseluruhannya pencapaian tersebut merupakan yang terbaik sejak peperiksaan berkenaan dilaksanakan berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) pada tahun 2021.

Menurut beliau, aliran penurunan GPK sejak 2021 turut membuktikan peningkatan prestasi calon saban tahun dengan catatan 4.86 (2021), 4.74 (2022), 4.60 (2023), 4.49 (2024) dan 4.42 (2025).

“Secara keseluruhannya, pencapaian calon SPM Tahun 2025 berdasarkan indeks GPK adalah lebih baik sejak peperiksaan SPM yang menggunakan KSSM mulai tahun 2021.

“Tahniah kepada semua yang berusaha dan bersungguh-sungguh untuk mencapai pencapaian ini. Nilai 4.42 mata adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun sejak SPM berasaskan KSSM diperkenalkan pada 2021,” katanya pada sidang media pengumuman analisis SPM 2025 di sini, hari ini.

Baca juga : SPM 2025: 13,779 calon peroleh semua A – KP Pendidikan

Dalam pada itu, beliau berkata, jurang pencapaian antara calon bandar dan luar bandar terus menunjukkan penyusutan.

Berdasarkan GPK, jurang antara kedua-dua lokaliti itu mengecil sebanyak 0.04 mata apabila GPK calon bandar mencatatkan 4.40 mata pada 2025 berbanding 4.47 mata pada 2024.

Bagi calon luar bandar pula, Dr Mohd Azam menjelaskan, GPK mencatatkan 4.81 mata pada 2025 berbanding 4.92 mata pada tahun sebelumnya.

“Perbandingan tersebut menunjukkan jurang pencapaian antara bandar dan luar bandar berkurangan daripada 0.45 mata pada 2024 kepada 0.41 mata pada 2025,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button