BERITA SEMASA

SPM 2025: 13,779 calon peroleh semua A – KP Pendidikan

PUTRAJAYA – Seramai 13,779 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 atau 3.55 peratus pelajar memperoleh keputusan cemerlang dengan kombinasi gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, jumlah itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding 13,827 calon atau 3.65 peratus pada SPM 2024.

Menurut beliau, bagi pencapaian tertinggi iaitu memperoleh semua gred A+ dalam semua mata pelajaran, seramai 376 calon direkodkan pada SPM 2025 berbanding 352 calon pada tahun sebelumnya.

“Selain itu, bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 92,347 orang atau 23.76 peratus pada SPM 2025 berbanding 86,040 orang atau 22.73 peratus pada SPM 2024.

“Angka ini menunjukkan peningkatan seramai 6,307 orang atau 1.03 peratus,” katanya dalam satu sidang media pengumuman analisis keputusan peperiksaan SPM 2025 di sini, hari ini.

Tambah beliau, calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalam semua mata pelajaran turut mencatat peningkatan apabila seramai 141,728 orang atau 36.47 peratus direkodkan pada SPM 2025 berbanding 136,791 orang atau 36.13 peratus pada SPM 2024.

“Peningkatan ini melibatkan seramai 4,937 orang atau 0.34 peratus,” ujarnya lagi.

KPM menyediakan beberapa kaedah semakan alternatif, termasuk semakan dalam talian dengan melayari laman sesawang: myresultspm.moe.gov.my mulai 10 pagi hari ini hingga 6 petang, 6 April, manakala semakan melalui SMS pula boleh dibuat melalui SPM 15888.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button