UKKM perkukuh kerjasama akademia-industri melalui pelantikan 10 profesor baharu
UKKM fokus lahir graduan kompeten melalui jaringan kepakaran industri
PETALING JAYA – Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) memperkukuh sinergi antara dunia akademik dan industri menerusi pelantikan 10 tokoh berpengaruh negara sebagai Profesor Adjung dan Profesor Industri bagi membantu melahirkan graduan lebih kompeten serta memenuhi keperluan semasa sektor keusahawanan dan koperasi.
Pro Canselor UKKM, Tan Sri Mohd Fuzi Harun berkata, pelantikan tersebut bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian profesional individu terbabit, malah menjadi jambatan penting yang menghubungkan pengalaman industri dengan dunia pendidikan tinggi.
Menurut beliau, para tokoh yang dilantik berperanan sebagai mentor kepada pelajar, rakan kolaborasi kepada pensyarah serta pemangkin kepada pembangunan universiti dalam menghadapi cabaran era pendigitalan dan perubahan ekonomi global.
“Pada pandangan saya, hari ini adalah tentang membina jambatan antara dunia akademik dan dunia industri, antara pengalaman dan ilmu pengetahuan serta antara mereka yang telah melalui pelbagai cabaran dalam kerjaya dengan generasi yang sedang bersedia membina masa depan negara.
“Pelantikan ini bukan sekadar satu pengiktirafan terhadap pencapaian profesional, sebaliknya satu penghormatan yang hadir bersama tanggungjawab untuk berkongsi pengalaman, membimbing generasi baharu dan membantu membentuk masa depan pendidikan tinggi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelantikan Profesor Adjung dan Profesor Industri UKKM di Auditorium Dato’ Abdul Majid, Institut Koperasi Malaysia (IKMa), di sini hari ini.
Menurut beliau, pengalaman yang diperoleh melalui cabaran memimpin organisasi, membuat keputusan penting serta berdepan kegagalan dan kejayaan merupakan nilai yang tidak dapat dipelajari sepenuhnya menerusi buku teks dan perlu dikongsi bersama warga universiti.
Sementara itu, Pengerusi UKKM, Datuk Wira Dr Rosli Mat Hassan berkata, penglibatan pakar industri dan profesional berpengalaman amat penting bagi memastikan kurikulum serta aktiviti akademik universiti sentiasa relevan, dinamik dan selari dengan kehendak pasaran.
Sehubungan itu, UKKM melantik lapan tokoh sebagai Profesor Adjung dan dua tokoh sebagai Profesor Industri bagi tempoh 2025 hingga 2028.
Mohd Fuzi berkata, hubungan antara universiti dan industri kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi satu keperluan dalam usaha melahirkan graduan yang benar-benar bersedia memasuki alam pekerjaan.
“Universiti perlu memahami kehendak industri, manakala industri pula perlu membantu membentuk bakat masa depan. Apabila kedua-duanya bergerak seiring, kita bukan sahaja melahirkan graduan yang cemerlang di atas kertas, tetapi graduan yang mampu menyumbang kepada organisasi, masyarakat dan negara.
“Saya percaya pelantikan yang diraikan hari ini akan menjadi satu lagi langkah penting ke arah memperkukuhkan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih mampan dan berimpak,” katanya.

Antara yang menerima pelantikan sebagai Profesor Adjung ialah Group Managing Partner UHY Malaysia PLT Group of Companies, Datuk Tee Guan Pian serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Norafizah Shiak Abd. Rahman.
Bagi jawatan Profesor Industri pula, pelantikan diberikan kepada Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Pengerusi Anggota Lembaga Koperasi MOCCIS Berhad, Datuk Ahmad Sobri Wan Teh.
Majlis tersebut turut diserikan dengan sesi syarahan khas oleh Ahmad Norihan yang mengupas strategi memperkasa gerakan koperasi negara, manakala Profesor Adjung, Dr Muhammad Ridha Haykal Amal berkongsi pandangan mengenai pembangunan ekonomi luar bandar dan komuniti akar umbi dari perspektif serantau.
Sementara itu, Naib Canselor UKKM, Datuk Prof Dr Azali Mohamed pula yakin gabungan pengalaman lapangan dan kepakaran praktikal tokoh-tokoh yang dilantik mampu melahirkan graduan lebih berdaya saing, berintegriti serta bersedia menerajui sektor keusahawanan dan koperasi di peringkat nasional dan antarabangsa.
Beliau berkata, pelantikan tersebut selari dengan aspirasi UKKM untuk menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang keusahawanan dan koperasi serta memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan industri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















