BERITA SEMASA

Lima pelajar Sabah di UKKM terima biasiswa KWAPd, IKMa – Ewon

KUALA LUMPUR – Lima pelajar Sabah yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) menerima biasiswa daripada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi (KWAPd) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, kesemua pelajar itu mengikuti program pengajian peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana yang menjurus kepada pengurusan perniagaan, koperasi dan Keusahawanan.

“Daripada lima pelajar itu, tiga daripada mereka ditawarkan biasiswa daripada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi (KWAPd) dan dua orang lagi menerima tajaan daripada Institut Koperasi Malaysia (IKMA).

“Ini adalah antara inisiatif saya dan usaha kerajaan melalui KUSKOP untuk memastikan anak-anak dari Sabah terutamanya pelajar golongan kurang berkemampuan tidak tercicir dalam pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ewon yang juga Canselor UKKM berharap lebih ramai pelajar khususnya dari Sabah memilih untuk melanjutkan pengajian di universiti itu.

“Sebelum ini saya telah meminta pihak UKKM mengadakan pengambilan khas untuk pelajar dari Sabah dan Sarawak.

“Ini juga selaras dengan fokus saya untuk memberikan fokus tambahan bagi kedua-dua negeri itu selain mengurangkan fokus sedia ada di kementerian,” katanya.

Beliau berkata, pelajar daripada anak kepada ahli mana-mana koperasi boleh memohon pembiayaan yang disediakan oleh kementeriannya bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Permohonan boleh dibuat secara dalam talian (online) atau terus melalui saya untuk dipanjangkan kepada pihak UKKM, bagi tujuan penelitian. Kita juga akan terus memberi keutamaan kepada pelajar golongan B40,” katanya.

UKKM yang dikendalikan oleh IKMa, satu daripada agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menawarkan program pengajian bermula dari peringkat Diploma sehinggalah Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Sementara itu, program Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (umum) akan mula ditawarkan pada Januari tahun depan, manakala “Doctor of Business Administration” (DBA) pula akan ditawarkan pada Julai tahun yang sama menjadikan UKKM memiliki sembilan program pengajian kesemuanya.

Sebagai rekod, kesemua program yang ditawarkan itu mendapat pengiktirafan akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button