BERITA SEMASA

Malaysia, Korea bincang semula MoU kerjasama keusahawanan

JEJU – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan hari ini mengadakan pertemuan bilateral bersama Timbalan Menteri Startups dan Inovasi Korea, T.Y.T. Jungwook Lim bagi membincangkan perkembangan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pembangunan keusahawanan antara Malaysia dan Korea.

Ramanan berkata, MoU berkenaan mula dirunding sejak 2019 dan dimuktamadkan pada April 2021, namun majlis menandatanganinya tertangguh ekoran pandemik Covid-19 dan situasi politik ketika itu.

“Sejak itu, wakil kerajaan kedua-dua negara terus berusaha menghidupkan kembali rundingan melalui beberapa saluran rasmi termasuk komunikasi bersama Kementerian PMKS dan Start-up (MSS) Korea pada Jun 2024 serta Kedutaan Republik Korea pada April tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Malaysia kini komited memperkukuh hubungan rapat dengan MSS bagi mencari peluang terbaik memuktamadkan MoU tersebut sama ada melalui lawatan bilateral khusus atau semasa pertemuan peringkat menteri pada masa akan datang.

Beliau berkata, satu lagi opsyen yang dipertimbangkan ialah menyelaraskan majlis menandatangani MoU itu dengan proses ratifikasi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia–Korea yang disasarkan selesai seawal hujung tahun ini.

“Malaysia melihat MoU ini sebagai satu inisiatif strategik dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa untuk pembangunan PMKS dan start-up.

“Ia bukan sahaja menjadi platform perkongsian pengetahuan malah membuka peluang lebih luas kepada usahawan kedua-dua negara untuk berinovasi, berkolaborasi dan menembusi pasaran global,” jelasnya.

Menurut Ramanan, Malaysia melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa memberi keutamaan memperkasakan bidang keusahawanan dan lawatan ke Korea itu merupakan sebahagian daripada proses penglibatan yang dapat mengukuhkan lagi misi tersebut.

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Setiausaha Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa KUSKOP, Mohamad Mahil Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Datuk Nainy serta pegawai kanan kementerian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button