Jom@Coop 2025 raih sambutan luar biasa, lebih 5,500 peserta terlibat – Ramanan
PUTRAJAYA – Program Jom@Coop 2025 berjaya mencatatkan pencapaian membanggakan apabila menarik penyertaan lebih 5,500 peserta dari seluruh negara, sekali gus membuktikan usaha memperkasa gerakan koperasi semakin mendapat sambutan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, kejayaan itu hasil daripada peranan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) yang menganjurkan program tersebut dengan kerjasama pelbagai agensi strategik.
“Saya bangga dengan program yang telah dilaksanakan oleh Pengerusi Lembaga IKMa, Onn Abu Bakar. Sambutan yang diterima sangat baik dengan 5,500 peserta di seluruh negara mengambil bahagian serta mendapat manfaat daripada program tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Program Jom@Coop yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga IKMa, Onn Abu Bakar di Putrajaya hari ini.
Ramanan menambah, pelaksanaan program dalam tiga skala iaitu kecil, sederhana dan besar memberi ruang luas kepada koperator untuk menimba ilmu, berkongsi pengalaman serta meningkatkan daya saing koperasi masing-masing.
“Peserta perlu bersedia menghadapi perubahan seiring perkembangan zaman termasuk bidang tenaga hijau, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI). Program sebegini membuka peluang untuk mereka mengejar impian menjadikan koperasi lebih berjaya,” katanya.
Menurut Ramanan, penganjuran kali ini turut mendapat perhatian kerana ia menghimpunkan pelbagai pihak termasuk ahli parlimen yang juga ahli lembaga pengarah IKMa, sesuatu yang jarang berlaku dalam program seumpamanya.
“Jarang kita lihat semua ahli parlimen yang juga ahli lembaga pengarah dapat hadir bersama kerana mereka sibuk, tetapi kali ini mereka bersatu untuk menjayakan program. Tahniah kepada YB Onn yang berjaya menyatukan semua pihak dalam usaha ini,” jelasnya.
Ramanan turut menekankan bahawa koperasi di Malaysia masih mempunyai ruang yang luas untuk diperkasakan, meskipun jumlahnya kini mencecah lebih 16,000.
“Daripada jumlah itu, hampir 2,000 koperasi tidak aktif. Secara keseluruhan ada lebih 14,000 yang aktif, tetapi kita masih jauh ketinggalan berbanding negara jiran seperti India dan Indonesia.
“Justeru, lebih banyak program perlu dijalankan untuk mengangkat gerakan koperasi kita,” katanya.
Baca juga : Jom@Coop 2025 capai objektif, tarik penyertaan luar bandar, pedalaman seluruh negara
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, kepelbagaian saiz koperasi sama ada besar, sederhana atau kecil bukanlah ukuran utama, sebaliknya ilmu serta keupayaan mengurus perniagaan adalah faktor yang menentukan kejayaan sesebuah koperasi.
“Yang penting sekali adalah ilmu dan perniagaan koperasi tersebut. Sebab itu IKMa memainkan peranan besar melalui pendidikan dan latihan. IKMa ada universiti sendiri, Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), antara yang pertama di dunia memberi peluang dari peringkat diploma hingga PhD,” katanya.
Ramanan menegaskan, usaha berterusan memperkukuh koperasi melalui program berskala nasional seperti Jom@Coop perlu diperkasa agar koperasi tempatan dapat mengejar pencapaian negara-negara jiran sekali gus memberi sumbangan lebih besar kepada pembangunan ekonomi negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








