BERITA SEMASA

Kebakaran Tiffani Kiara terkawal, siasatan forensik sedang dijalankan

KUALA LUMPUR – Kebakaran melibatkan sebuah unit kondominium di Tiffani Kiara, Mont Kiara malam tadi berjaya dipadamkan sepenuhnya, namun siasatan terperinci mengenai puncanya masih diteruskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Jurucakap Bomba berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 8.30 malam itu disedari apabila asap tebal keluar dari salah satu unit kondominium berkenaan.

“Laluan menuju ke kawasan kejadian turut dipenuhi kenderaan orang awam yang berhenti untuk melihat operasi pemadaman,” memetik laporan NST online.

Pasukan bomba dari empat balai Hartamas, TTDI, Sentul dan Menjalara dikerahkan ke lokasi untuk memadamkan kebakaran.

Difahamkan pada peringkat awal terdapat kemungkinan api merebak ke unit lain namun saksi di lokasi menyatakan hanya satu unit mengalami kebakaran, walaupun kesan hangus ketara pada bahagian luar bangunan.

Beberapa tingkat di atas dan bawah unit terjejas turut mengalami gangguan elektrik, menyebabkan kawasan tersebut gelap.

Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh memaklumkan penduduk diminta menunggu arahan lanjut sebelum dibenarkan pulang ke unit kediaman masing-masing.

“Jangan buat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook pagi tadi.

Menurut beliau, mesyuarat tergempar akan diadakan selepas laporan forensik dikeluarkan bagi meneliti aspek keselamatan bangunan.

Setakat ini, masih tiada pengesahan mengenai mangsa atau kecederaan dalam kejadian tersebut.

Pihak bomba dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi selepas siasatan selesai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button