Zahid seru rakyat perkukuh kesiapsiagaan hadapi bencana
IPOH – Rakyat perlu sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana dengan mengutamakan keselamatan keluarga serta memupuk semangat saling membantu bagi memastikan tiada pihak terpinggir ketika berdepan musibah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, doa dan tawakal perlu disertai usaha serta persediaan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Alhamdulillah, semalam saya berkesempatan bersama-sama ahli kariah dan masyarakat setempat di Masjid Sultan Azlan Shah, INTIM, Ipoh dalam program Rehlah Perdana sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026.
“Kami bersama-sama bermunajat memohon perlindungan dan rahmat Allah SWT agar negara serta seluruh rakyat sentiasa dijauhkan daripada segala musibah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, program itu turut menghimpunkan ahli kariah dan masyarakat setempat.
“Sesungguhnya, doa dan tawakal mesti berjalan seiring dengan usaha dan kesiapsiagaan.
“Kita perlu sentiasa bersedia, menjaga keselamatan keluarga serta memupuk semangat saling membantu kerana apabila bencana melanda, tiada siapa seharusnya dibiarkan menghadapinya bersendirian,” katanya.
Zahid berkata, usaha meningkatkan kesedaran mengenai kesiapsiagaan bencana perlu diteruskan bagi memperkukuh semangat kebersamaan dalam masyarakat.
Beliau berharap program seumpama itu dapat menyemai kesedaran bahawa persediaan merupakan sebahagian daripada ikhtiar menghadapi bencana, manakala doa dan semangat perpaduan menjadi kekuatan dalam menghadapi sebarang dugaan.
“Kerana dalam menghadapi musibah, persediaan adalah ikhtiar, doa adalah kekuatan dan kebersamaan adalah asas kesiapsiagaan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








